Piala Emas Khir Johari buka gelanggang Julai depan

9 Apr 2022 • 3:38 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

KEJUARAAN Piala Emas Khir Johari kembali menghangatkan arena sukan sepak takraw negara pada Julai depan selepas lebih dua tahun tidak dianjurkan berikutan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perkara itu diumumkan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan, setelah mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi PSM kali kedua, pada Khamis

Malah menurut Mohd Sumali, kejohanan edisi ke-56 itu akan menggunakan semula format regu berpasukan setelah format antara regu melibatkan hanya dua regu daripada setiap negeri dan juga ahli gabungan PSM pada edisi 2019 lalu.

“Kami berhasrat untuk menganjurkan kejohanan tahun ini dan akan komited untuk mempertahankan penganjurannya pada masa akan datang.

“Pada kejohanan kali ini format regu berpasukan akan kembali digunakan berbanding format dua regu sebelum ini,” katanya.

image is not available

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) muncul juara edisi 2019 kejuaraan sepak takraw tertua di dunia itu setelah menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 21-16, 21-17 dalam perlawanan akhir di Stadium Negeri Kuala Terengganu.

Bagaimanapun menurut Mohd Sumali buat masa ini, badan induk sepak takraw negara tersebut masih belum memuktamadkan tuan rumah bagi penganjuran kejuaraan berkenaan.

Katanya, perkara itu masih dalam perbincangan bagi menentukan venue yang sesuai bagi penganjuran edisi kali ini.

“Setakat ini, kami masih belum memutuskan tuan rumah bagi penganjuran kejohanan kali ini dan dijangka perkara berkenaan akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya.