
Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 35 tahun dipenjara 13 tahun kerana melakukan gangguan seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berumur enam tahun.
Hakim Mahkamah Sesyen Azreena Aziz menjatuhkan hukuman itu ke atas Azwan Aliasan, selepas memutuskan bahawa pendakwaan berjaya membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah terhadap Azwan pada Khamis.
Azwan didapati bersalah melakukan perbuatan itu terhadap kanak-kanak perempuan itu dengan memeluk, dan mencium pipinya sambil membuka pakaiannya pukul 10.55 pagi pada 6 Julai, 2020 di tepi jalan di Penampang.
Kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan memanggil enam saksi sepanjang perbicaraan dan hanya seorang saksi pembelaan yang memberi keterangan.
Azwan diperintahkan membela diri pada 23 Disember, 2021 selepas mahkamah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie ke atas Azwan.
Mahkamah memerintahkan Azwan menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 6 Julai 2020.
Selepas selesai hukuman penjara, Azwan diperintahkan diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun.
Sementara itu, tiga lelaki dijatuhi hukuman penjara empat bulan setiap seorang kerana memasuki negeri ini secara haram.
Jamri Dapii, Abi Sanawi dan Long Dori Dori, mengaku bersalah memasuki negeri ini tanpa sebarang dokumen dan mereka ditahan secara berasingan pada April tahun ini di kawasan bandaraya.
Mahkamah memerintahkan ketiga-tiganya dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas menjalani hukuman penjara supaya data biometrik mereka direkodkan sebelum dihantar pulang.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

