Umat Islam Malaysia Mula Berpuasa Pada Ahad

1 Apr 2022 • 9:37 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Timbalan Mufti Selangor, Profesor Madya Dr. Miszairi Sitiris melihat anak bulan bagi menentukan tarikh permulaan puasa untuk umat Islam di Malaysia, di Baitul Hilal Bukit Jugra, Banting. - Gambar Abdul Razak Latif

KUALA LUMPUR - Umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa mulai Ahad (3 April), demikian diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.

Syed Danial berkata tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Ahad menurut perintah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Pengumuman itu disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam ini.

image is not available
Pembantu Hal Ehwal Islam Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Selangor, Khairul Amal Zaini membuat persediaan sebelum melihat anak bulan bagi menetapkan tarikh umat Islam di Malaysia berpuasa, di Baitu Hilal Bukit Jugra. - Gambar Abdul Razak Latif

image is not available
Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk turut serta dalam proses penetapan anak bulan Ramadan di Baitu Hilal Bukit Jugra - Gambar Abdul Razak Latif

Sebelum ini, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja menerusi satu kenyataan menetapkan tarikh melihat anak bulan Ramadan bagi menentukan permulaan puasa untuk umat Islam di Malaysia ialah hari ini (Jumaat) bersamaan 29 Syaaban 1443 Hijrah.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataan itu turut menyatakan proses melihat anak bulan Ramadan berlangsung di 29 lokasi seluruh negara antaranya di Pontian Kecil, Johor dan Kompleks Falak Al-Khawarizmi Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka.

Setelah dua tahun umat Islam di negara ini menyambut Ramadan dalam keadaan Malaysia masih berdepan dengan pandemik COVID-19, kali ini ia akan disambut dalam Fasa Peralihan ke Endemik yang bermula 1 April. - Bernama