MBSA, MPS bantu promosi Plats 3.0, tarik peniaga guna digital promosi produk

13 Apr 2022 • 2:04 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 13 APRIL: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menganjurkan beberapa sesi penerangan dan pameran bagi menarik lebih ramai usahawan menyertai Platform Selangor (Plats) 3.0.

Ketua bahagian korporat dan perhubungan awamnya berkata sesi mengenai Plats itu diadakan selama empat hari mulai 21 hingga 24 Mac ini di Dewan Auditorium MBSA.

Shahrin Ahmad berkata MBSA turut menjalin kerjasama dengan majlis perwakilan penduduk bagi memberi pendedahan kepada peniaga mengenai revolusi pendigitalan oleh Kerajaan Selangor.

“Kita tahu peniaga kesuntukan masa untuk hadir dan mendengar penerangan berkaitan Plats kerana mereka lebih tertumpu kepada aktiviti perniagaan berbanding menimba ilmu bagi mengembangkan perniagaan.

“Namun, kita berharap peniaga dapat meluangkan sedikit masa untuk menghadiri sesi ini pada minggu depan,” katanya yang memaklumkan sehingga Disember lalu seramai 1,260 peniaga sudah mendaftar dengan Plats 1.0 dan 2.0.

Sementara itu, pengarah jabatan korporat Majlis Perbandaran Selayang (MPS) berkata pihaknya akan terus membantu Pemerbadanan Menteri Besar atau MBI, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dan Plats mempromosikan platform tersebut kepada peniaga serta penjaja.

Menurut Mohamad Zin Masoad, aktiviti promosi, kaedah penggunaan dan khidmat sokongan perlu dipertingkatkan supaya golongan terbabit menjadikan Plats sebagai medium utama perniagaan.

“Langkah Kerajaan Negeri memperkenalkan Plats sangat bagus kerana memudahkan peniaga meluaskan perniagaan melalui platform digital dan kita perlu meningkatkan lagi promosi serta pendedahan kepada mereka,” katanya.

Dilancarkan 8 April lalu, Plats 3.0 yang melibatkan kerjasama 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) menyasarkan penyertaan 10,000 usahawan mikro negeri ini.

Plats diperkenal Ramadan pada dua tahun lepas bagi melengkapkan ekosistem Agenda Digitalisasi Selangor membabitkan usahawan melalui satu platform digital.

Pada 11 April tahun lalu, Plats 2.0 dilancarkan bagi membantu peniaga menjana pendapatan sepanjang masa, tidak terhad ketika bulan puasa sahaja.