
Kota Kinabalu: Seorang wanita dipenjara lima bulan kerana tinggal di negeri ini selepas pasportnya tamat tempoh.
Gego Wuran mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azreena Aziz, kepada pertuduhan terhadapnya pada Isnin.
Gego ditahan pada 16 Mac tahun ini di Beaufort selepas polis mendapati pasportnya telah tamat tempoh.
Kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen itu membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan Gego menjalani hukuman penjara itu dari tarikh dia ditangkap.
Selepas hukuman penjaranya selesai, Gego diarah rujuk ke Jabatan Imigresen untuk data biometriknya direkodkan
sebelum dihantar pulang ke negara asal.
Dalam kes lain, seorang lelaki dipenjara empat bulan kerana memasuki negeri ini secara haram.
Mahkamah menjatuhkan hukuman itu kepada Adi Mas Omar yang mengaku memasuki negeri itu tanpa sebarang dokumen yang sah.
Dia ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri kepada polis.
Adi diperintah menjalani hukuman penjara itu dari tarikh dia ditangkap.
Sementara itu, tiga lagi lelaki didakwa atas tuduhan kemasukan haram.
Mereka ialah Salim Mohd, Madian Geroy Abdullah dan Nazri Narvin. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga mereka selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka melalui Zoom.
Mahkamah menetapkan 20 Apr untuk sebutan dan ketiga-tiga mereka diperintah reman sementara menunggu tarikh tersebut.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

