Nahas 3 Kenderaan, Bayi Antara 3 Mangsa Maut

2 Apr 2022 • 1:11 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Kenderaan mangsa merempuh lori yang datang dari arah bertentangan. - Gambar ihsan JBPM

SEMPORNA - Tiga sekeluarga termasuk seorang bayi berusia 10 bulan maut, manakala dua lagi parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 12 Jalan Semporna-Tawau, semalam.

Nahas pada jam 4.30 petang itu meragut nyawa seorang wanita, 30 dan bayinya yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mangsa ketiga, seorang remaja lelaki berusia 13 tahun yang juga anak saudara kepada wanita berkenaan pula menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Semporna.

Kejadian dipercayai berlaku apabila kesemua mangsa yang menaiki sebuah Perodua Kancil sedang dalam perjalanan dari arah Kampung Lihak menuju ke Kampung Salimbangun.

Turut menaiki kenderaan sama ialah suami wanita berkenaan dan adik perempuannya, masing-masing berusia 30 serta 27 tahun.

Sebaik tiba di lokasi, Perodua Kancil itu dilanggar sebuah pacuan empat roda (4WD) dari arah belakang.

Perlanggaran tersebut menyebabkan Perodua Kancil berkenaan hilang kawalan dan terbabas ke lorong bertentangan, sebelum merempuh sebuah lori 20 tan.

Ketua Polis Daerah Semporna Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah ketika dihubungi, hari ini mengesahkan kejadian tersebut.

Menurut beliau, identiti kesemua mangsa bagaimanapun tidak didedahkan sebagai menghormati permintaan keluarga.

“Pemandu Perodua Kancil serta adiknya cedera parah dan sedang dirawat di hospital, manakala pemandu pacuan empat roda dan lori berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada pemandu 4WD tersebut.

Susulan nahas, lelaki berusia 21 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1)APJ 1987. - Getaran, 2 April 2022

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved