Gagal seludup anak lotong

8 Apr 2022 • 5:55 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

MERSING - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Mersing berjaya menggagalkan cubaan menyeludup tiga ekor anak lotong selepas memeriksa sebuah kereta di Jalan Dr Ismail di sini semalam.

Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Muhd Zailani Abdullah berkata, bertindak atas maklumat orang awam, pihaknya bersama anggota Balai Polis Mersing memeriksa kereta itu yang sedang diparkir di lokasi berkenaan.

"Pemeriksaan menemukan tiga ekor anak lotong di dalam sebuah sangkar plastik yang diletakkan di bahagian belakang tempat duduk penumpang.

"Kita (PPM) juga menahan seorang lelaki berusia 27 tahun yang merupakan pemilik kereta berkenaan bagi membantu siasatan mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Muhd Zailani berkata, semua rampasan dibawa ke Markas Taktikal PPM Wilayah Dua Mersing dan kes kemudian diserahkan kepada Pengawai Penyiasat Jabatan Perhilitan Mersing untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, anak lotong dianggar dijual di pasaran pada harga RM500 seekor.

Katanya, orang ramai diminta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan menyalahi undang-undang menerusi talian 07-2372 222. - Bernama