Terus patuhi SOP semasa fasa peralihan ke endemik

9 Apr 2022 • 12:18 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Ibu bapa dinasihatkan mengutamakan keselamatan anak-anak ketika mengunjungi tempat sesak.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir. Shahelmy Yahya walaupun negara telah memasuki fasa peralihan ke endemik, orang ramai terutama ibu bapa perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak jangkitan Covid-19.

“Kawasan sesak merupakan suasana yang tidak baik untuk kanak-kanak terutamanya mereka yang tidak mempunyai perlindungan vaksinasi.

“Apabila kita berada di fasa peralihan endemik, banyak kelonggaran diberikan contohnya bazar Ramadan dibenarkan beroperasi.

“Tetapi, kita menasihatkan agar ibu bapa mematuhi SOP supaya dapat menjamin kesihatan dan keselamatan anak-anak yang dibawa keluar mengunjungi tempat yang sesak seperti di bazar Ramadan atau di tempat membeli-belah serta tempat berbuka puasa.

“Pastikan anak-anak yang dibawa terutama kanak-kanak dalam kelompok umur belum menerima vaksinasi agar kesihatan mereka dijaga,” katanya apabila ditemui selepas Perasmian Penutupan Majlis Ukhuwah Ramadan Tahun 2022 bersama NGO wanita di Wisma Wanita, pada Khamis.

Dalam pada itu, Shahelmy memaklumkan, pemberian vaksin masih diteruskan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di fasiliti-fasiliti kesihatan.

“Kita masih menggalakkan orang ramai untuk mendapatkan vaksinasi terutamanya golongan warga emas dan golongan kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun.

“Mereka yang belum mendapatkan dos penggalak disarankan untuk mendapatkan suntikan. Selepas beberapa lama sistem pertahanan badan daripada dua dos suntikan terdahulu akan menurun.

“Justeru, dos penggalak akan bertindak meningkatkan kembali sistem pertahanan badan,” katanya. Program pada Khamis adalah anjuran Persatuan Usahawan Wanita Intelek Sabah (SWISE) bersama Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (Jhewa) dan Adabi Sabah Distribution Sdn Bhd.

“Tujuan program ini adalah untuk menyemarakkan suasana bulan Ramadan, di samping memupuk semangat sukarelawan di kalangan wanita dan juga NGO wanita yang bernaung di bawah Jhewa,” ujarnya.

Dalam majlis berkenaan, sebanyak 1,200 pek bubur lambuk diagihkan kepada Masjid Bandaraya Kota Kinabalu serta Masjid Nur Hidayah, Taman Keramat Likas dan selebihnya diagihkan kepada Madrasah Wakaf Islamiah Sabah serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi di bawah kementerian terbabit.

Turut hadir, Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungki, Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Flovia Ng dan Pengarah Jhewa, Haslina Ismail.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.