USM lantik pasukan khas pastikan keselamatan pelajar terjamin

27 Apr 2022 • 4:40 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

GEORGETOWN - Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengambil langkah-langkah yang perlu dengan melantik pasukan kerja khas di bawah Timbalan Naib Canselor (Kelestarian dan Pembangunan Institusi) untuk melihat semua fasiliti pelajar terutamanya di desasiswa bagi memastikan keselamatan pelajar terjamin.

Timbalan Naib Canselor (Kelestarian dan Pembangunan Institusi) USM, Profesor Dr Md Roslan Hashim berkata, pasukan tersebut sedang meneliti semua aspek yang perlu serta mengambil langkah-langkah pencegahan untuk mengelakkan kejadian sama berulang.

"Pasukan kerja ini akan mengambil kira faktor struktur bangunan selain mengenal pasti sebarang kemungkinan yang akan berlaku terhadap kemudahan pelajar di desasiswa.

"USM amat berdukacita dengan kemalangan yang berlaku apabila seorang pelajar terjatuh dari tingkat lapan sebuah desasiswa pada malam Isnin lalu. Kejadian malang tersebut amat dikesali dan tidak diduga sama sekali," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Tambahnya, pihak USM menasihatkan pelajar agar lebih berhati-hati untuk memastikan kejadian sama tidak berulang

"Universiti akan terus dari semasa ke semasa memantau keselamatan pelajar dari semua aspek yang berkaitan melalui pengurusan desasiswa dan Majlis Penghuni Desasiswa kerana isu keselamatan pelajar menjadi keutamaan buat kita," katanya.

Pada malam Isnin, seorang penuntut USM maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat lapan asrama Desasiswa Tekun, Gelugor di sini.

Mayat pelajar lelaki berusia 22 tahun itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di pekarangan bangunan itu sebelum polis dimaklumkan mengenai kejadian tersebut kira-kira jam 10.30 malam.

Berita kematian pelajar tahun dua Pusat Pengajian Pendidikan dikenali sebagai Lukman Hakim Mat Rani itu turut tular di media sosial.