Perbanyak amalan terpuji, ibadah sepanjang Ramadan

1 Apr 2022 • 5:55 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

SHAH ALAM - Umat Islam disaran mengambil peluang untuk memperbanyakkan amalan terpuji dan ibadah sepanjang Ramadan ini.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pengalaman menyambut Ramadan pada fasa pandemik Covid-19 seharusnya diambil iktibar dengan memenuhi setiap ruang dan masa untuk meningkatkan ibadah pada kali ini.

Beliau berharap, aktiviti di masjid dan surau dapat dihidupkan kembali serta dimakmurkan sebagai tanda kerinduan selepas dua tahun dikekang dengan penularan Covid-19.

"Bagaimanapun, umat Islam hendaklah sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan segera melengkapkan vaksin agar kesihatan diri terpelihara dengan sempurna.

"Diharapkan agar semua umat Islam memperbaharui niat untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti dalam melaksanakan ibadah serta memperbaiki diri supaya Ramadan fasa endemik ini lebih baik daripada yang sebelumnya, " katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau turut mengingatkan umat Islam untuk tidak melupakan kewajipan menunaikan zakat harta dan fitrah melalui Lembaga Zakat Selangor (LZS) selain sedekah dan berwakaf yang maklumat tersebut boleh didapati melalui laman web www.mais.gov.my.

"Kemudahan melalui sistem digital merupakan satu peluang untuk orang ramai melaksanakan ibadah tanpa pelbagai alasan.

"Rebutlah peluang ini dan elakkan melaksanakannya di saat akhir terutamanya dalam menunaikan kewajipan berzakat, " katanya

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved