
Kota Kinabalu: Kedudukan kes baharu Covid-19 di Sabah tidak banyak berubah walaupun jumlah jangkitan baharu pada Jumaat menyusut sebanyak 21 kes kepada 101 berbanding 122 kes Khamis lalu.
Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata sebanyak 13 daerah mencatatkan penurunan jumlah jangkitan berbanding tujuh daerah yang mencatatkan pertambahan kes baharu.
“Tujuh daerah lagi kekal sebagaimana catatan semalam (Khamis). Tidak ada kes jangkitan baharu di lima daerah iaitu Kinabatangan , Sipitang, Pitas, Kalabakan dan Kudat,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Kluster Jalan Tambalang, Tuaran ditamatkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah pada Jumaat.
“Ini bermakna tidak ada lagi kluster yang aktif di Sabah,” katanya.
Sebanyak 95 daripada 101 kes pada Jumaat adalah dalam Kategori 1 dan 2. Terdapat dua kes masing-masing dalam Kategori 3, 4 dan 5.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
