
KUANTAN - Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut manakala lima yang lain termasuk bayi perempuan berusia lapan bulan cedera dalam kebakaran dua rumah di Jalan Permatang Badak Perdana 2, di sini pada awal pagi Khamis.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, kedua-dua rumah jenis berkembar separuh kekal itu musnah dijilat api.
Menurutnya, kebakaran turut melibatkan tiga kenderaan dengan satu hangus manakala dua lagi mengalami rosak teruk.
"Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan daripada MERS 999 pada jam 3.15 pagi berhubung kejadian.
"Seramai sembilan anggota termasuk seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tas ke lokasi bersama sebuah jentera dan kenderaan penyelamat untuk operasi pemadaman dan penyelamatan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Ismail berkata, operasi pemadaman menggunakan dua aliran hos dari tangki pam jentera bomba dan bantuan air dari jentera tangki air.
"Punca kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan," katanya.

