Jual RON95: KPDNHEP buka 9 kertas siasatan

28 Apr 2022 • 2:24 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

JOHOR BAHRU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membuka sembilan kertas siasatan ke atas pengusaha stesen minyak di negeri ini, susulan penjualan petrol bersubsidi RON95 kepada kenderaan asing dari Singapura.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, siasatan itu dilakukan susulan pihaknya menerima 18 aduan sejak sempadan negara dibuka bermula 1 April lalu.

"Pada peringkat awal, tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp berhubung kenderaan asing mengisi petrol bersubdisi RON95.

"Susulan itu, sebanyak 18 aduan diterima berhubung perkara ini. Daripada jumlah itu, sembilan kertas dibuka untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1971.

"Sembilan pengusaha stesen minyak telah dipanggil KPDNHEP Johor untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan. Siasatan juga merangkumi percakapan daripada pekerja dan rakaman kamera litar tertutup ( CCTV)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar ketika mengadakan lawatan kerja ke sebuah stesen minyak di Jalan Lingkaran Dalam di sini, pada Khamis.

Alexander menambah penguatkuasaan dan pemantauan terhadap isu kenderaan asing mengisi petrol bersubsidi ini turut dipertingkatkan dengan Op Samar yang mana anggota penguatkuasa memakai anggota penguat kuasa memakai pakaian biasa.

Beliau seterusnya meminta pengusaha stesen minyak mematuhi peraturan ditetapkan dengan tidak menjual petrol bersubsidi kepada kenderaan termasuk motosikal bernombor pendaftaran asing.

"Kehadiran warga asing terutama dari Singapura amat dialu-alukan, namun kerajaan harap mereka dapat mendisplinkan diri tidak mengisi petrol bersubsidi RON95. Begitu juga pengusaha stesen minyak, diharap bantu kawal isu ini.

"Tindakan tegas akan dikenakan kepada pengusaha stesen minyak yang menjual petrol bersubsidi kepada kenderaan termasuk motosikal bernombor pendaftaran asing mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961(Akta 122) dan (Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974).

"Akta itu memperuntuk penalti tidak melebihi RM1 juta atau hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-dua sekali terhadap individu manakala perbadanan atau syarikat berdepan denda tidak melebihi RM2 juta," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved