
Kota Kinabalu: Sebuah syarikat yang menguruskan bangunan di mana seorang kanak-kanak terjatuh dari tingkat 5 melalui celah jambatan tiga tahun lalu, didakwa atas tuduhan cuai terhadap keselamatan awam.
WTW Property Services (Sabah) Sdn Bhd, melalui Pengarahnya, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azreena Aziz, pada Isnin.
Pertuduhan menyatakan syarikat itu sebagai pengurusan bangunan gagal menutup celah tersebut dengan selamat di laluan penghubung antara Blok D dan Blok A, B dan C di aras lima, bagi mengelak risiko orang terjatuh.
Kesalahan itu didakwa berlaku pada jam 3 petang 1 Dis 2019 di tapak Cadangan Pembangunan Komersial (tiga blok pejabat kedai 5 tingkat, satu blok bangunan Komersial 6 tingkat dengan tempat letak kereta bawah tanah 1 tingkat yang geran stratanya akan dipohon) bangunan T1 Bundusan di Jalan Bundusan, Penampang.
Syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 10 (e) Akta Kilang dan Jentera 1967 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 51 (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000, atau penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya.
Mahkamah menetapkan 19 Mei untuk pengurusan kes dan 1 – 2 Feb tahun depan untuk perbicaraan.
Wakil syarikat itu dilepaskan dengan ikat jamin RM3,000 dengan penjamin tempatan.
Peguam Dominic Ghani mewakili syarikat itu.
Jumaat lalu, syarikat yang memiliki bangunan itu dan seorang kontraktor bangunan itu didenda sejumlah RM35,000 kerana melakukan kesalahan sama.
Pemiliknya, TBMC Development Sdn Bhd, diperintah untuk membayar denda RM20,000 atau waran levi akan dikeluarkan kepada syarikat itu, selepas wakilnya mengaku bersalah kepada pertuduhan tersebut.
Sementara itu, kontraktor Albert Voo Chun Chung, 37, didenda RM15,000 atau penjara dua bulan, selepas dia mengaku terhadap pertuduhan itu.
Di Mahkamah Majistret, seorang lelaki berumur 44 tahun dipenjara sembilan bulan kerana melupuskan satu gelang emas yang dicuri.
Adnan Gemok mengaku di hadapan Majistret Lovely Natasha Charles, iaitu melupuskan gelang emas itu dengan menggadaikannya kepada kedai pajak gadai di Manggatal pada pukul 3 petang pada 15 Dis 2021.
Mahkamah memerintahkan Adnan menjalani hukuman penjara itu dari tarikh dia ditangkap.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
