Dambakan kehadiran ibu pada pagi raya

29 Apr 2022 • 7:10 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

TUMPAT - Berlinang air mata Nor Shafira Mohd Razali, 13, tatkala berbicara mengenai satu-satunya harapan menjelang Aidilfitri iaitu mahu beraya bersama ibu tercinta.

Bagaimanapun, hasrat pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tumpat tersebut tidak akan menjadi kenyataan selepas ibu tersayang meninggal dunia pada 2020.

“Kerinduan terhadap arwah ibu membuak-buak setiap kali menjelang Syawal sehingga terbawa-bawa ke dalam mimpi,” katanya.

Nor Shafira berkata, menjelang hari lebaran biasanya dia akan sibuk membantu ibu mengemas rumah dan menyiapkan hidangan untuk dijamah pada hari raya.

image is not available

Jelasnya, setiap kali satu Syawal arwah ibu akan menyediakan hidangan nasi lemak dan nasi ayam untuk dimakan bersama-sama.

“Hidangan itu merupakan kegemaran arwah ibu. Saya juga rindu keletah ibu dan senyuman kasih sayangnya itu,” luah Nor Shafira sambil berlinang air mata.

Menurutnya, pusara ibu di Tanah Perkuburan Islam Datuk yang berdekatan rumah akan diziarahi setiap hujung minggu untuk mengubat rindu yang tiada berpenghujung.