Harga ayam golek, sata, kebab naik 10 peratus

3 Apr 2022 • 6:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

SHAH ALAM - Harga juadah berbuka puasa di Bazar Ramadan Stadium Shah Alam di sini dilihat tidak berlaku peningkatan luar biasa.

Tinjauan Sinar Harian di bazar Ramadan berkenaan pada hari pertama beroperasi pada Ahad mendapati rata-rata pelanggan berpuas hati dengan harga ditawarkan walaupun terdapat kenaikan hampir 10 peratus bagi makanan tertentu.

Antara makanan yang mengalami kenaikan harga hampir 10 peratus ialah ayam golek dijual pada harga RM24 saiz sederhana dan RM25 bagi saiz besar berbanding RM22 dan RM23 pada tahun lalu.

image is not available

Sata juga didapati naik harga iaitu dari RM3 kepada RM3.50 setiap cucuk dan kebab dari RM4.50 kepada RM5 manakala makanan dan minuman lain masih kekal pada harga lama walaupun harga barang didakwa naik.

Makanan yang dijangka naik harga pada tahun ini, bagaimanapun harganya masih kekal ialah ikan bakar (RM5-RM35), puding karamel (RM6), roti John (RM8-RM12) dan martabak (RM5) serta minuman pula RM3 bagi setiap bungkusan.

Malah, pembeli yang mengunjungi bazar Ramadan Stadium Shah Alam turut menyifatkan harga makanan dan minuman tidak membebankan walaupun harga barang dilaporkan meningkat.

"Saya lihat harga peniaga masih sama seperti dua tahun sebelum ini, yang naik hanya beberapa makanan sekitar 10 peratus daripada harga sebelum ini," kata kakitangan syarikat swasta, Abdul Razak Ali, 45.

Rakannya, Ahmad Hasni Muhamad, 43, berkata, dia turut berpuas hari dengan harga ditawarkan dan berbelanja lebih RM50 serta meninjau hampir setiap gerai jualan peniaga di bazar berkenaan.

"Pembeli sudah tentu ingin makanan enak dan murah dan saya berpuas hati kadar harga makanan dan minuman ditetapkan di bazar Ramadan pada tahun ini kerana harganya sama seperti dua tahun lalu.

"Dari segi penjarakan sosial juga amat baik kerana kawasan ini luas, peniaga dan pengunjung juga patuh prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya yang menetap di Seksyen 14 di sini.

Sementara itu, peniaga ayam golek, Nurfaizura Mohamad, 35, berkata, peniaga terpaksa menaikkan sedikit harga jualan bagi tahun ini kerana faktor harga ayam naik, kini sekitar RM13 seekor.

image is not available

Sementara itu, peniaga ikan bakar, Faizal Jamil, 40, berkata, walaupun harga barang mentah naik, namun dia mengekalkan harga ikan bakar pada harga dua tahun lalu kerana kuasa beli yang masih rendah.

"Kami juga tidak boleh naikkan harga makanan keterlaluan kerana kadar sewa yang dikenakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kepada kami juga pada kadar yang munasabah," katanya.