Lelaki cabul dua wanita di Cyberjaya didakwa esok

12 Apr 2022 • 9:15 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

SEPANG - Seorang penghantar makanan yang ditahan berkaitan kes cabul dua wanita di sebuah bangunan di Cyberjaya akan didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, lelaki berusia 20 tahun itu akan dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

"Suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret esok atas dua pertuduhan berkaitan dua kes cabul," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Pada 6 April lalu, media melaporkan seorang penghantar makanan diberkas kerana melakukan dua kes cabul di sebuah bangunan di Cyberjaya, di sini pada 5 April lalu.

Dalam kejadian pertama, suspek mencabul seorang wanita berusia 27 tahun di kawasan parkir, pada jam 2 petang.

Wanita yang bekerja sebagai pembantu peribadi itu dicabul ketika suspek membantu mangsa memasukkan barang ke dalam kenderaannya.

Kes kedua membabitkan seorang wanita bekerja sendiri berusia 34 tahun.

Kejadian berlaku di hadapan lif di tingkat dua bangunan itu berselang 15 minit selepas kes pertama.

Hasil maklumat, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sepang dan polis Cyberjaya memberkas suspek di rumahnya di Taman Putra Perdana, Puchong.

Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah berkaitan kes curi motosikal dan memiliki barang curi.