Baju kurung kain 'yoyo' hangat di pasaran

30 Apr 2022 • 7:50 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

KOTA BHARU - Walaupun menjadi perdebatan hangat di laman sosial dengan dakwaan sesetengah warganet mengatakan kain 'yoyo' yang sedang tular itu kurang bermutu, namun tinjauan Sinar Harian mendapati, baju kurung kain 'yoyo' menjadi produk paling laris menjelang Aidilfitri.

Seorang penjual pelbagai jenis pakaian daripada kain 'yoyo', Hanis Farahin Hasnol, 21, berkata, dapat menjual lebih 100 pasang baju kurung kain 'yoyo' tersebut pada setiap hari.

Katanya, memasuki minggu terakhir Ramadan, stok baju kurung kain 'yoyo' bertambah lima kali berikutan permintaan dan pembelian sangat tinggi oleh orang ramai untuk perayaan Aidilfitri tahun ini.

“Kain 'yoyo' ini wujud pada tahun 2015 lagi, masa tu hanya dibuat tudung dan mudah dibentuk.

“Cuma akhir-akhir ini, kain 'yoyo' digunakan untuk baju kurung, jubah dan set baju seluar yang mendapat sambutan amat menggalakkan daripada pembeli kerana kelebihannya tidak mudah renyuk serta tidak perlu digosok untuk dipakai,” katanya ketika ditemui di kedai menjual pelbagai pakaian Muslimah di Lembah Sireh di sini pada Jumaat.

Katanya, rezeki berlipat kali ganda diperoleh melalui penjualan baju kurung kain 'yoyo' yang dijual RM69 di kedainya.

image is not available

“Pantang masukkan stok baharu, terus sahaja licin. Pelanggan membeli dalam jumlah banyak sehingga lima pasang untuk satu keluarga.

“Kali ini memang banyak untung hingga mencecah ratusan ribu ringgit diperoleh peniaga melalui penjualan baju kurung yang viral ini,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi jurujual Amirah Mat Ripin, 30, berkata, baju kain 'yoyo' boleh dijual sehingga RM300 bergantung kepada rekaan baju tersebut.

“Kain ini boleh didapati dalam tiga tona warna terkini termasuk warna-warna pastel, terang dan gelap.

“Baju yang diperbuat daripada kain ini sangat selesa dan sejuk dipakai sesuai dengan cuaca di Malaysia yang sangat panas pada waktu sekarang,” katanya.

Seorang pelanggan, Wan Nur Fariza Wan Mazlan, 35, berkata, sudah membeli tiga pasang baju kurung kain 'yoyo' yang tular untuk digayakan sempena Aidilfitri ini.

“Saya pilih warna hijau zaitun, merah jambu dan kelabu untuk pakai diri sendiri pada hari raya nanti.

“Saya bercadang untuk menambah koleksi baju daripada kain ini kerana sangat selesa untuk dipakai walaupun ke tempat kerja,” katanya.