
DUNGUN - Tiga adik-beradik mampu meraih sehingga RM15,000 dalam tempoh dua minggu hasil jualan 500 bekas biskut raya.
Nur Syazwani Nadiah Mohd Adenan, 31, berkata, tempahan bagi 10 jenis biskut raya yang mula dibuka sejak awal Ramadan itu ditutup seminggu sebelum Hari Raya Aidilfitri.
Katanya, setakat ini kesemua 500 bekas biskut raya telah dihantar kepada pelanggan dan masih berbaki 100 bekas lagi yang masih belum diagihkan.
"Setakat ini kita anggarkan mampu menjana sehingga RM15,000 dengan menggunakan modal kira-kira RM7,000.
"Sasaran tahun ini lebih baik berbanding tahun lalu di mana jualan pada tahun lalu lebih rendah iaitu RM9,000 disebabkan faktor pandemik Covid-19 ketika itu," katanya.
Antara biskut raya yang dihasilkan ialah semperit, mama carey, sarang semut, tart nanas, almond london, cornflakes madu, nutella pod, milky oreo, swiss tart strawbery dan swiss tart nutella yang dijual pada harga RM25 hingga RM35 sebekas.

Nur Syazwani mula menjual pelbagai jenis biskut raya sejak 2016 manakala pada 2020, dia mula mengorak langkah dengan mencuba pembuatan kek di kediamannya di Kampung Pak Sabah, di sini.
Nur Syazwani dibantu kakak dan adiknya iaitu Nurul Liyana Akmal Mohd Adenan, 32 dan Nur Zulaikha, 21.
Dalam pada itu, Nur Syazwani mengakui terdapat kenaikan harga biskut raya disebabkan peningkatan kos.
"Ada beberapa jenis kuih raya yang naik harga antaranya almond london dan tart nanas yang terpaksa dinaikkan kepada RM35.
"Namun ada biskut raya lain seperti semperit, milky orea dan nutella pod yanh masih dijual pada harga RM25 sebekas," katanya.
Jelas Nur Syazwani, jualan aneka biskut raya mendapat sambutan memberangsangkan pada musim perayaan.
"Walaupun musim perayaan menjanjikan pulangan lumayan kepada peniaga biskut raya, ada beberapa biskut raya yang juga mendapat sambutan pada bulan biasa.
"Antara biskut yang sentiasa mendapat permintaan termasuk bukan sahaja pada musim perayaan ialah biskut raya moden seperti tart nanas," katanya.


