Saifuddin Nasution sah tanding Timbalan Presiden PKR

Politics
1 Apr 2022 • 5:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

SHAH ALAM - Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Jumaat mengesahkan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti itu akan datang.

Memetik laporan MalaysiaKini, Saifuddin berkata, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira pengalamannya dalam membantu memperkukuhkan parti sebelum ini.

“Saya bertekad meneruskan usaha sehabis daya membantu institusi presiden yang kini disandang (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, seperti mana sebelumnya membantu (Datuk Seri) Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk mengukuh dan mempersiap parti menghadapi pilihan raya umum bersama rakan-rakan pimpinan seluruhnya,” katanya.

Beliau membuat pengumuman itu dalam perutusan khas selepas Mesyuarat Agung Cabang Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan di Mulong, Kota Bharu, Kelantan pada Jumaat.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang merasmikan mesyuarat agung tersebut.

Saifuddin dalam masa sama turut mengalu-alukan keputusan bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli untuk bertanding merebut jawatan sama.

Malah, Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu turut menyifatkan Rafizi bukan sahaja merupakan aset parti tetapi seorang yang kreatif, intelektual, tinggi daya juang dan dihormati rakan dan lawan.

“Justeru persaingan ini adalah tawaran dua rakan yang ingin terus menyumbang kepada keutuhan parti melalui proses demokrasi yang diizinkan di dalam perlembagaan parti," ujarnya.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, dirinya juga komited membawa pendekatan kerja berpasukan dan akan memposisikan diri sebagai ‘team player’ yang menghargai sumbangan setiap orang di dalam parti.

Jelasnya, ia dibuktikan apabila turut mempersiapkan parti dalam menghadapi tiga pilihan raya umum sebelum ini, termasuk urusan rundingan kerusi, perangkaan manifesto, perancangan strategi, pengukuhan jentera dan kempen seluruh negara.

"Pada ketika landskap politik negara sudah banyak berubah yang menyaksikan tiada lagi dominasi tunggal satu parti politik yang mampu menang pilihan raya, maka kemahiran diplomasi politik menjadi suatu keperluan.

"Saya membawa pengalaman tatkala parti bersama Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan (PH). Saya berhasrat memanfaatkan sedikit kemahiran membantu parti dalam perkara berkait diplomasi politik dalam memelihara hubungan dengan parti-parti sahabat di dalam PH dan parti-parti lain di negara kita.

"Saya juga berjanji akan menghormati keputusan setiap anggota parti yang membawa maksud jika terpilih, saya akan tunaikan amanah dan jika sebaliknya saya akan terus kekal berkhidmat untuk PKR dalam apa jua peranan," katanya.