
PENGUMUMAN Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk tetap membenarkan rakyat pulang ke kampung menyambut Hari Raya Aidilfitri pastinya melegakan umat Islam khususnya yang tidak dapat berbuat demikian akibat pandemik.
Terpancar wajah gembira, bagi penyanyi Sabah Burhan Ayub, 34, raya kali ini adalah untuk dia “membalas dendam” selepas pandemik Covid-19 menghalang aktiviti dan tradisi beraya seperti ziara-menziarah dan mengadakan rumah terbuka untuk diadakan.
Akuinya, Aidilfitri kali ini cukup bermakna apabila dapat menyambutnya bersama keluarga di Bongawan, Papar selepas dua tahun tidak dapat pulang beraya di kampung akibat larangan rentas daerah. BURHAN sudah merancang banyak aktiviti untuk raya kali ini, termasuk konvoi ziarah bersama keluarga dan rakan-rakan.
“Dua tahun lepas memang tidak dapat balik kampung dan hanya beraya di rumah sewa di Likas.
“Raya kali ini adalah waktunya untuk lakukan apa yang tidak dapat dilakukan semasa pandemik.
“Bagi saya Hari Raya adalah sesuatu yang cukup istimewa, perasaan memang kita bilang sangat ‘excited’ sebab cuma dapat diraikan setahun sekali.
“Paling penting bagi saya adalah memori dan kenangan semasa menyambut raya bersama keluarga dan rakan-rakan.
“Banyak aktiviti sudah dirancang untuk raya kali ini, termasuk konvoi ziarah bersama keluarga dan rakan-rakan. BURHAN ketika merakamkan lagu Dendang Perantau.
“Mungkin raya ketiga atau keempat saya sudah rancang untuk konvoi beraya dari Bongawan sehingga ke Beaufort,” katanya kepada Hiburan Ekspres.
Duit raya untuk anak-anak saudara dan baju raya juga sudah pun disediakan awal.
Lebaran ini, dia memilih tema ‘keemasan’ untuk dua baju raya barunya.
“Duit raya untuk anak-anak saudara dan kanak-kanak yang datang beraya di rumah adalah wajib bagi saya. Saya sebenarnya tidak kisah untuk berbelanja lebih untuk Hari Raya.
“Kalau tiada halangan, ada juga perancangan untuk buat rumah terbuka, dan perancangan untuk buat di kampung dan rumah sewa di Likas. Insya Allah,” katanya.
Rakam dua lagu raya
Kelonggaran diberikan sempena fasa peralihan ke endemik juga dimanfaatkan sepenuhnya oleh Burhan untuk merakamkan dua lagu raya.
Lagu pertama adalah rakaman semula lagu raya malar segar, Dendang Perantau nyanyian Allahyarham Tan Sri P.Ramlee manakala satu lagi adalah kolaborasi bersama komposer dan penyanyi dari Tuaran, Khairul777 berjudul Sayang Raya.
Finalis pertandingan Bintang P. Ramlee 2018 peringkat negeri Sabah itu berkata dia sudah lama menyimpan hasrat untuk merakamkan semula lagu-lagu seniman teragung itu.
“Saya memlilih lagu Dendang Perantau kerana ia salah satu lagu kegemaran dan cukup dekat dengan keadaan sendiri yang terpaksa beraya di perantauan dua tahun lalu.
“Untuk versi ini, saya menggunakan susunan muzik daripada AkustiKaraoke MY dan saya cuba membawakan lagu ini secara santai.
“Untuk lagu Sayang Raya pula, ia dicipta sepenuhnya oleh Khairul777. Penggambaran video klip dijalankan kebanyakannya di Tuaran. Menariknya lagi, dalam video muzik Sayang Raya, kami akan menampilkan kepelbagaian kaum di Sabah.
“Kami cuba gambarkan suasana raya di Sabah di mana kita menyambut raya bersama-sama pelbagai kaum dan etnik tanpa mengira agama dan latar belakang.
“Lagu Sayang Raya sudah pun dihantar ke stesen-stesen radio tempatan dan saya harap lagu ini dapat diterima umum,” katanya.
Untuk rekod, tahun lepas Burhan bekerjasama dengan Ayien, Asz Marzuki dan Aldean AJ menerusi lagu Aidilfitri Yang Mulia.
Syawal ini juga, katanya, dia sudah menerima undangan untuk mengadakan persembahan pada sebuah acara rumah terbuka raya di Bongawan.
“Alhamdulillah, undangan menyanyi pada raya ini memang ada. Dua tahun tidak dapat menghiburkan orang ramai, memang teruja kerana akhirnya dapat membuat persembahan.
“Biasanya, pada hari raya saya sering diundang menyanyi di majlis rumah terbuka oleh pemimpin setempat di Bongawan dan hotel-hotel sekitar Kota Kinabalu.
“Tahun lalu walaupun tiada persembahan terbuka, saya bersyukur kerana mendapat sokongan daripada Santai Brunei FM, iaitu sebuah radio online tempatan yang bersiaran menerusi Facebook.
“Stesen radio ini memang sudah banyak memberikan sokongan kepada saya dan juga penyanyi-penyanyi tempatan lain khususnya dari kaum Brunei Sabah.
“Setiap kali raya, mereka akan mengundang saya menyanyi secara live untuk radio mereka. Cuma sejak pandemik, saya hanya menyanyi dari rumah untuk program mereka,” katanya.
Dipilih sertai program realiti TV
Beralih bicara pada soal kerjaya, Burhan memberitahu dia bakal ke Sarawak pada Julai ini untuk bertanding pada sebuah program realiti televisyen, Getaran Jiwa.
Program terbitan TV Sarawak (TVS) itu merupakan sebuah pertandingan nyanyian yang mengetengahkan bakat-bakat menerusi lagu klasik Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dan Puan Sri Saloma.
Burhan merupakan antara enam bakat Sabah daripada 49 peserta disenarai pendek ke pertandingan itu, yang dijangka bersiaran pada Julai ini. Terdahulu, lebih 600 orang menghantar video ujibakat.
Cukup meminati karya-karya P. Ramlee, Burhan tidak dapat menyembunyikan perasaan terujanya.
Difahamkan, program itu terpaksa ditangguhkan dua kali sebelum ini. Ia pada awalnya dirancang disiarkan pada Oktober 2021 tetapi ditunda ke Mac tahun ini.
Namun, ia sekali lagi ditunda ke Julai depan oleh penganjur atas sebab-sebab tidak dapat dielakkan.
“Sebenarnya sudah ada beberapa peserta yang sudah menarik diri, tetapi saya tetap cekalkan diri untuk meneruskan perjuangan saya.
“Matlamat saya adalah selagi boleh menyertai mana-mana pertandingan, saya akan sertai sehinggalah saya bergelar juara.
“Lagi pun, peluang ini hanya sekali. Jarang kita nampak ada pertandingan seumpama ini. Sebab itu, saya tidak akan berputus asa,” katanya.
Akuinya, persaingan juga cukup sengit kerana terdapat juga peserta penyanyi rakaman dan pernah menjuarai pertandingan Bintang P. Ramlee RTM peringkat kebangsaan.
“Walau apa pun cabaran, paling penting adalah buat yang terbaik, tengok rezeki masing-masing. Hanya juri dapat menilai kekuatan (vokal dan persembahan) kita.
“Seperti kata pepatah ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’, sesusah mana pun, bagi saya yang penting banyakkan praktis dan belajar.
“Menariknya lagi, program Getaran Jiwa ini ia berbeza dengan format Bintang P. Ramlee, di mana peserta perlu meniru karakter suara dan gaya P. Ramlee.
“Dalam program ini, kami sebaliknya perlu menampilkan penyampaian dan persembahan ikut cara sendiri. Yang utama, tidak hilang nilai klasik lagu yang dinyanyikan,” katanya, yang ingin menharumkan nama Sabah dan kampung halamannya dalam pertandingan itu.
Memetik laporan berita, Ketua Pegawai Eksekutif TVS Suhaimi Sulaiman, berkata peserta Getaran Jiwa bebas untuk berinterpretasi tetapi mereka harus menghormati karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Puan Sri Saloma.
Penerbit Getaran Jiwa, Yume Suryani pula berkata konsep pertandingan itu agak berlainan apabila setiap minggu tujuh orang peserta akan bertanding dan hanya dua akan dipilih sebagai pemenang.
“Dua orang yang dipilih pada setiap minggu ini, kita akan bawa ke separuh akhir. Selepas itu, kita akan kita tapis lagi untuk dibawa ke peringkat akhir,” katanya.
Difahamkan program Getaran Jiwa TVS dijangka bersiaran selama tujuh minggu pada Julai ini di Saluran 122 Astro.



