Lelaki cedera, kereta jatuh gaung

5 Apr 2022 • 3:20 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

GENTING HIGHLANDS - Seorang lelaki cedera selepas kereta jenis Proton Saga yang dipandunya terbabas terhumban ke dalam gaung sedalam kira-kira 137 meter di Kilometer 5.6 di sini pada Selasa.

Mangsa berusia 49 tahun itu diselamatkan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Genting Highlands.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia ( JBPM) Pahang Zulfadli Zakaria memberitahu, pihak bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 8.58 pagi.

Menurutnya, seramai 10 anggota termasuk Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sampai di tempat kejadian terdapat sebuah kereta terjatuh ke dalam gaung dan seorang lelaki masih hidup mengalami kecederaan luka di muka, tangan dan kaki.

image is not available

"Mangsa dibawa keluar menggunakan peralatan khas dan tali menyelamat sebelum diserahkan kepada pihak ambulans Genting," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ujarnya, operasi ditamatkan pada jam 10.39 pagi dan mangsa dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan selanjutnya.