Lori tangki mencurigakan bongkar seleweng diesel

4 Apr 2022 • 9:42 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

KLANG - Sebuah lori tangki yang sedang mengisi minyak dalam keadaan mencurigakan di stesen minyak di Pelabuhan Klang di sini membongkar kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi, pada Rabu lalu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, operasi Ops Lipan kira-kira jam 11 pagi oleh sepasukan anggota KPDNHEP Selangor bertindak hasil aduan yang diterima pihaknya.

Katanya, operasi terbabit telah mengesan sebuah lori tangki yang sedang mengisi bahan api jenis diesel ke dalam tangki simpanan lori itu.

"Anggota operasi kemudian bertindak menahan pemandu lori terbabit iaitu seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an yang mengaku bertanggungjawab ke atas lori itu.

"KPDNHEP telah bertindak menyita lori, diesel, resit belian yang dianggar bernilai RM8,500 untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, selain itu, KPDNHEP turut menyiasat premis stesen minyak terbabit dan telah merekod keterangan pengurus stesen terbabit.

Jelas Muhamad Zikril, kes disiasat di bawah Peraturan 18 dan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti sama ada stesen minyak terbabit terlibat bersubahat dengan kegiatan itu," ujarnya.

Tegasnya, inisiatif di bawah Ops Lipan ini memfokuskan kepada pemantauan khusus di stesen minyak di sekitar Selangor dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung salah laku peniaga yang tidak beretika khususnya melibatkan perlakuan barangan bersubsidi boleh mengemukakan aduan melalui saluran rasmi.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved