Tiga remaja maut, selepas berlumba sesama sendiri

23 Apr 2022 • 7:48 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

PASIR GUDANG: Tiga remaja lelaki maut manakala seorang lagi parah dipercayai berlumba sesama sendiri membabitkan tiga motosikal sehingga kemalangan di Jalan Delima, Taman Kota Masai, dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata ketiga-tiga mangsa yang meninggal dunia berumur lingkungan 15 hingga 16 tahun manakala yang cedera parah berumur 17 tahun.

“Siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku kira-kira pukul 10.30 malam dipercayai ketika kesemua mangsa yang menunggang dan membonceng motosikal telah bersaing sesama sendiri sehingga bergesel dan berlaku kemalangan.

“Akibat daripada insiden tersebut, tiga mangsa telah tercampak di atas jalan dan terlanggar batu berumput bahu kiri jalan manakala seorang mangsa jatuh di batu berumput bahu kanan jalan,“ katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mohd Sohaimi berkata siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, katanya orang ramai terutamanya ibu bapa dinasihati agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak terutamanya yang masih di bawah umur supaya tidak membenarkan mereka menunggang motosikal dan tidak terlibat dengan aktiviti lumba haram.

Sementara itu, dalam kes berlainan, polis menahan dua lelaki berumur 21 dan 22 tahun di sini malam tadi selepas dikesan sebagai pelaku yang menunggang motosikal dengan melakukan aksi mengangkat tayar hadapan (wheelie) yang tular dalam media sosial.

Beliau bagaimanapun berkata kejadian tersebut dipercayai berlaku pada tahun lepas di Jalan Kota Masai, di sini, yang baru ditularkan menerusi media sosial.

Menurutnya, pihak polis juga telah berjaya merampas motosikal yang digunakan oleh pelaku terlibat.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987. Pihak Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan apa-apa aktiviti samseng jalanan di atas jalan raya dan pastikan sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya dan kod lalu lintas yang telah ditetapkan semasa berada di atas jalan raya,“ katanya.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 19 saat menunjukkan dua lelaki menunggang motosikal dengan membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

Sementara itu, Azian Mat Adam, 41, ibu saudara kepada salah seorang mangsa kemalangan berkata anak buahnya Muhammad Adam Danish Mohd Fairu, 16, penunggang motosikal yang maut dalam kemalangan merupakan anak sulung daripada empat beradik dan sangat bertanggungjawab serta rapat dengan adik-beradiknya.

“Kami reda dia pergi pada bulan yang mulia...dia budak yang baik. Kami berlapang dada,“ katanya sambil menahan sebak.

Azian berkata jenazah Muhammad Adam akan dibawa pulang ke Pengkalan Chepa, Kelantan untuk dikebumikan.

“Selepas selesai semuanya, kami akan bawa balik ke kampung di Kelantan. Adam memang hendak sangat balik Kelantan sebab lama tak balik. Sekarang ini ibu dan ayah Adam sangat bersedih kerana Adam tidak menunjukkan sebarang perubahan dan kami masih lagi terkejut dan sedih,“ katanya.

Sementara itu, bapa kepada Mohamad Hairul Danish, 15, Mohamad Hapizan Rashid, ketika ditemui di Hospital Sultan Ismail, mengesahkan kejadian menimpa anaknya itu.

Dia yang masih bersedih atas pemergian anaknya secara mengejut itu, bagaimanapun reda atas ketentuan yang telah di tetapkan.

Difahamkan jenazah Mohamad Hairul Danish yang selesai dimandi dan dikafankan itu, akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cahaya Masai, Pasir Gudang, petang ini.

Pada kejadian pukul 10.30 malam itu, Muhammad Adam Danish yang menunggang motosikal dan dibonceng Mohamad Hairul Danish, maut bersama seorang lagi remaja, manakala seorang lagi parah selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga buah motosikal di Jalan Delima, Taman Kota Masai dekat Pasir Gudang. -Bernama