TH Buka Rayuan Haji Bermula 19 April

18 Apr 2022 • 9:00 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar fail

KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji (TH) akan membuka permohonan rayuan untuk orang ramai mengerjakan ibadah itu bagi tahun 1443H/2022 melalui aplikasi THiJARI, bermula esok sehingga 18 Mei depan.

Pengarah Eksekutif TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abul Rahman berkata, permohonan secara dalam talian itu adalah kemudahan disediakan pihaknya bagi membantu calon jemaah membuat rayuan, tanpa perlu mengemukakan surat secara fizikal.

Katanya, TH membuka permohonan rayuan itu sebelum jumlah kuota diumumkan, sebagai langkah mengelakkan proses rayuan Haji dilakukan pada saat akhir.

“Pemilihan rayuan Haji dilakukan berpandukan kriteria tertentu dengan keutamaan diberikan kepada rayuan mahram. Aplikasi THiJARI boleh dimuat naik secara percuma daripada Google Play atau App Store.

“Ia akan memudahkan pendeposit untuk membuat rayuan Haji, membuat semakan status Haji dan pertanyaan baki simpanan,” katanya menerusi kenyataan.

Syed Saleh berkata, pendeposit hanya perlu melakukan tiga langkah untuk mendaftar sebagai pengguna di laman web THiJARI.

“Pertama, dapatkan capaian melalui www.thijari.com.my (menerusi telefon pintar/komputer/laptop dan sebagainya), manakala langkah kedua memasukkan nombor kad pengenalan dan nombor akaun TH.

“Ketiga, memasukkan nombor telefon bimbit sudah didaftarkan dan maklumat peribadi. Sebaik selesai, pendeposit boleh mula menggunakan perkhidmatan THiJARI,” katanya.

Bagi maklumat lanjut mengenai perkhidmatan TH, orang ramai boleh melayari laman sesawang www.tabunghaji.gov.my atau hubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919. - Getaran, 18 April 2022

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved