Dua ahli PSM ditahan halang tugas polis

13 Apr 2022 • 6:40 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

IPOH - Dua lelaki mengaku sebagai ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) ditahan selepas cuba menghalang penjawat awam menjalankan tugas di sebuah lot tanah persendirian di Chepor, Chemor di sini pada Rabu.

Dalam kejadian sekitar jam 8.35 pagi itu, dua lelaki terbabit enggan memberi kerjasama dan tidak mahu beredar seperti yang diarahkan pegawai polis bertugas.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kedua-dua mereka turut melakukan provokasi terhadap pasukan keselamatan yang berada di situ.

"Polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai sekumpulan lelaki telah menghalang dan mengganggu kerja-kerja pembersihan di lot tanah persendirian itu selain mengancam keselamatan pekerja-pekerja pemilik tanah.

"Bertindak atas laporan itu, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dan Balai Polis Kuala Kuang telah ke lokasi kejadian untuk mengesahkan maklumat berkenaan.

"Pemeriksaan mendapati kumpulan tersebut telah gagal mengemukakan hak pemilikan ke atas tanah berkenaan menyebabkan mereka dinasihatkan untuk bersurai," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Beliau berkata, kebanyakan individu daripada kumpulan itu akur dan beredar dari tempat kejadian, namun terdapat dua lelaki yang mengaku sebagai ahli PSM enggan memberi kerjasama.

Katanya, tindakan terpaksa diambil di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam dalam menjalankan fungsi jawatannya dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh, selepas tiga amaran diabaikan.

"Tangkapan dilakukan bagi mengelak mereka terus menghasut orang ramai mengganggu ketenteraman awam dan menceroboh kawasan itu.

"Amaran tegas turut diberikan kepada pihak-pihak berkepentingan supaya tidak terus menghasut orang awam menceroboh tanah milikan orang lain kerana ia tindakan tidak bertanggungjawab dan menyalahi undang-undang," katanya.