
KUALA LUMPUR - Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) sedang melakukan percubaan penggunaan bas elektrik dalam operasi perkhidmatan pengangkutan miliknya itu di beberapa laluan terpilih.
Dua laluan percubaan yang terlibat adalah Laluan 400: Damai Perdana ke Hab Lebuh Pudu melalui Bukit Bintang dan Laluan 650: Taman Desa ke Hab Pasar Seni.
Percubaan tersebut melibatkan empat buah bas elektrik dan akan dijalankan selama tiga bulan sehingga 13 Jun depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Mohammad Yazurin Sallij berkata, percubaan tersebut adalah selari dengan pelan transformasi Rapid Bus melalui Program Elektrifikasi Bas.
Katanya, program tersebut juga bakal menyaksikan bas diesel sedia ada digantikan dengan bas elektrik secara berperingkat menjelang tahun 2030.
“Inisiatif itu juga selaras Ikrar Kenyataan Polisi Alam Sekitar Prasarana dan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), iaitu sasaran neutral karbon melalui pengurangan pelepasan karbon menjelang tahun 2050,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Susulan itu, beliau berharap penumpang atau penduduk di sepanjang laluan terlibat tidak melepaskan peluang untuk mencuba perkhidmatan tersebut.
Malah katanya, maklum balas penumpang amat penting agar perkhidmatan tersebut dapat dipertingkatkan.
Jelasnya, penumpang boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai operasi perkhidmatan bas Rapid KL di laman media sosial Rapid KL dan aplikasi PULSE di telefon pintar masing-masing.
“Kami akan mengemas kini maklumat terbaharu bagi memudahkan penumpang merancang perjalanan mereka,” katanya.
Berdasarkan rekod, Rapid Bus sudah mula menggunakan bas elektrik sejak 2015 bagi koridor BRT Sunway dalam usaha mewujudkan persekitaran terkawal.
Sebanyak 15 buah bas elektrik sudah digerakkan dengan jumlah perjalanan melebihi 659,000 kilometer menggunakan kaedah ‘overnight charging’ atau pengecasan semalaman. - Getaran, 6 April 2022


