
Kota Kinabalu: Seorang lelaki berumur 29 tahun dipenjara lapan tahun dan dikenakan dua sebatan kerana melakukan gangguan seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan.
Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus menjatuhkan hukuman itu kepada Mohamad Rafizan Rushlan selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah terhadap Ruslan, pada Jumaat.
Rafizan didapati bersalah melakukan kesalahan itu dengan menggigit belakang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun tersebut dan meraba kemaluannya pada pukul 2.55 petang 6 Dis 2019 di tangga Taman Tun Said di Kota Belud.
Kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah turut memerintahkan Rafizan diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas menjalani hukuman penjaranya.
Semasa rayuan, Rafizan yang tidak diwakili memohon hukuman ringan dengan mengatakan dia mempunyai sembilan adik-beradik untuk dijaga.
Dia juga memohon agar hukuman sebatan tidak dikenakan ke atasnya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mas Izzaty Lokman menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan memandangkan kes itu telah melalui perbicaraan penuh.
Tambahnya, mangsa dalam kes itu trauma dengan kejadian tersebut.
Pihak pendakwaan telah memanggil lima saksi semasa perbicaraan manakala hanya dua saksi memberi keterangan di peringkat pembelaan.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

