
TAWAU: Polis menahan dua lelaki warga tempatan yang disyaki menggunakan duit palsu RM100 untuk membeli barangan dalam insiden di sebuah premis di bandar ini, minggu lepas.
Ketua polis daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek berusia 21 tahun yang merupakan seorang jurujual dan rakannya yang bekerja sebagai penghantar barangan persendirian, 25, ditangkap di lokasi berasingan Rabu lepas, sekitar jam 10.40 pagi.
Polis turut merampas sebuah kereta jenis Perodua Axia, dua telefon bimbit dan sekeping duit kertas RM100.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek menggunakan wang kertas palsu yang menunjukkan nilai RM100 untuk membayar barangan di sebuah kedai dengan tujuan untuk mendapatkan baki wang tulen.
“Kedua-dua suspek dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan,” katanya.
Menurut Jasmin, penjenayah wang palsu bijak mencari peluang bagi mengelakkan kegiatan disedari peniaga atau pekerja kedai.
“Antara modus operandi yang dikesan ialah mereka mengunjungi premis yang mempunyai ramai pelanggan memandangkan ketika itu juruwang sibuk menyebabkan mereka terlepas pandang untuk memeriksa wang palsu yang diberikan pelangggan.
“Taktik yang mereka guna adalah membayar barangan menggunakan wang kertas tulen yang diselitkan dengan wang palsu. Sekiranya juruwang tidak berhati-hati, mereka akan menjadi mangsa,” katanya.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar mengambil-tahu perbezaan wang palsu dan wang tulen.
Katanya, wang kertas tulen mempunyai 10 ciri keselamatan yang boleh dikesan termasuk cetakan timbul, potret tanda bayang dan tanda pandang telus pada angka 100 (bagi wang kertas RM100).
Ciri keselamatan yang lain ialah benang keselamatan kanta makro, petak kilat berwarna dan benang serat keselamatan.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
