Individu Ditemukan Rentung Dalam Kemalangan Kereta

25 Apr 2022 • 1:24 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Seorang individu rentung selepas kereta yang dipandunya terbakar di Jalan PJS 11, Bandar Sunway, malam tadi. - Gambar ihsan polis

PETALING JAYA - Seorang individu ditemui rentung selepas kereta dipandunya terbakar di Jalan PJS 11, Bandar Sunway berhadapan pusat beli belah Sunway Pyramid di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.57 malam itu, insiden terbabit disedari orang awam sebelum melaporkannya kepada Pusat Kawalan Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya menerusi panggilan MERS 999.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at, berkata siasatan awal mendapati kereta dipercayai jenis Proton itu berada di atas pembahagi jalan dan terbakar.

“Kereta terbabit dipercayai terbabas sebelum terbakar, sehingga menyebabkan kenderaan itu musnah sepenuhnya.

“Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya turut dikejarkan ke lokasi dan berjaya memadamkan kebakaran,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, seorang mangsa dipercayai pemandu ditemui rentung dalam kenderaan terbabit, bagaimanapun identitinya tidak dapat dipastikan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Getaran, 25 April 2022