
SHAH ALAM, 8 APRIL: Penjawat awam negeri menyambut penuh syukur pengumuman Bantuan Khas Kewangan (BKK) atau Insentif Rahmah Ramadan oleh Dato’ Menteri Besar hari ini dan menganggap ia hadiah istimewa menjelang Aidilfitri.
Kakitangan Pejabat Tanah dan Daerah Sabak Bernam berkata sebahagian bantuan itu akan digunakan untuk persiapan Aidilfitri, selepas dua tahun dirai secara sederhana akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ini kali kedua saya terima bonus dari Kerajaan Selangor sejak berkhidmat pada Disember 2021. Insya-Allah sebahagiannya akan disimpan untuk dijadikan deposit membeli rumah,” kata Norhidayah Abdul Rashid.
Kakitangan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) pula berkata insentif sebulan gaji itu akan menaikkan semangat penjawat awam di Selangor untuk terus memberikan khidmat terbaik.
“Insya-Allah ia akan digunakan untuk persiapan hari raya, selain turut dikongsikan bersama ahli keluarga terdekat yang terkesan akibat pandemik,” kata Mohammad Nor Safar Tam.
Kedua-dua mereka ditemui Selangorkini selepas Rapat Rahmah Ramadan di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.

Pada majlis itu, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan insentif sebanyak satu bulan gaji, minimum RM1,000 kepada semua anggota perkhidmatan Kerajaan Negeri termasuk yang gajinya dibayar kerajaan Persekutuan dengan anggaran implikasi kewangan sebanyak RM39.15 juta.
Selain itu, bantuan RM500 turut diagihkan kepada penggerak belia Selangor dan masjid seperti nazir, imam, siak serta bilal atas dedikasi pengimarahan institusi masjid sepanjang Ramadan ini dan pembayaran akan dibuat pada 27 April ini.
Sementara itu, Presiden Penggerak Belia Selangor (PeBS), Akmal Halim berkata seramai 280 PeBS akan menerima bantuan RM500 seperti diumum Dato’ Menteri Besar.
“Kami amat-amat berterima kasih. Bantuan ini menunjukkan Kerajaan Negeri memahami keadaan anak muda yang menghadapi kekangan ekonomi susulan pandemik melanda negara sejak dua tahun lalu.
“Alhamdulillah secara tidak langsung makin bertambah berseri menyambut Aidilfitri kali ini,” katanya ketika dihubungi.
The post Insentif Ramadan: Penjawat awam negeri anggap hadiah istimewa sambut Aidilfitri appeared first on Selangorkini.

