
TAWAU: Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor didenda RM15,000 dan dipenjara 10 hari bermula Jumaat oleh Mahkamah Sesyen Khas Rasuah kerana meminta suapan RM3,000, enam tahun lepas.
Zakariah Kirinu, 40, mengaku salah di hadapan Hakim Abu Bakar Manat bahawa dia melakukan kesalahan itu di dalam kereta Perodua Viva di tempat letak kereta hadapan Mahkamah Tawau, jam 3 petang pada 19 April 2016. Tertuduh yang bertugas sebagai Pegawai Pendakwa IPD Tawau didakwa meminta suapan RM3,000 daripada Mohd Akhbar Azis, 29, sebagai balasan kononnya untuk membantu lelaki itu membuka jaminan bagi kes senjata api dan menggugurkan kes pedang samurai terhadap bapanya.
Zakariah didakwa di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Izzati Sapifee tampil mendakwa, manakala tertuduh tidak diwakili.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
