Mayat dalam gaung: Polis bongkar kes dera

12 Apr 2022 • 2:39 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

SEREMBAN - Polis berjaya membongkar satu kes penderaan susulan penahanan tiga suspek dan direman berhubung penemuan mayat wanita dalam gaung di Kilometer 14, Jalan Lama Bukit Putus di sini.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, siasatan menyeluruh mendapati berlaku kes penderaan dipercayai melibatkan salah seorang suspek.

"Kes itu melibatkan seorang wanita berusia 35 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia 1 tahun 8 bulan.

"Kedua-dua mangsa kini masih menerima rawatan (lokasi dirahsiakan)," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Jelas Nanda, kesemua kes dalam proses pengumpulan bukti untuk melengkapkan siasatan bagi pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31(1)Akta Kanak-Kanak 2001.

Sementara itu, Nanda berkata, kertas siasatan berhubung kes penemuan mayat wanita dalam gaung telah diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan lanjut.

"Bagaimanapun reman terhadap dua suspek lelaki dan wanita yang berakhir pada Isnin dilanjutkan," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, pada 20 Mac lepas seorang lelaki berusia 50-an yang sedang berjoging menemui mayat dipercayai wanita dalam gaung di Jalan Lama Bukit Putus.

Susulan itu, siasatan lanjut terhadap kesemua suspek masing-masing dua lelaki berusia 41 dan 44 tahun dan seorang wanita berusia 18 tahun membawa kepada penemuan tengkorak dan cebisan tulang rangka.

Penemuan itu dipercayai milik seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang ditanam di kawasan belukar berhampiran tangki air di Taman Bukit Zamrud di sini, pada 7 April lalu.