Hampir Setahun Diburu, Nicky Liow Akhirnya Serah Diri

12 Apr 2022 • 10:42 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Selepas hampir setahun menyembunyikan diri, ketua Geng Nicky iaitu ahli perniagaan, Nicky Liow akhirnya menyerah diri kepada polis.

Menurut laporan, pengasas Winner Dynasty Group  itu tampil dan menyerah diri di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Menara KPJ, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur ditemani peguamnya pada Isnin (11 April) sekitar jam 11 pagi.

Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain, Nicky ketika ini sedang berdepan lebih 20 kes berkaitan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLAFTA).

“Dia akan dihadapkan ke Mahkamah Shah Alam hari ini (semalam) untuk menghadapi sebanyak 26 pertuduhan.

“Sebelum ini pada 23 Mac lalu, Mahkamah Shah Alam mengeluarkan waran tangkap ke atas Nicky atau Liow Soon Hee untuk menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(a) AMLAFTA,” katanya dipetik dari BH.

Sekitar Mac tahun lalu, polis telah menahan 68 individu dipercayai ahli kumpulannya. Pihak berkuasa turut merampas 16 kenderaan mewah termasuk Rolls Royce dan mata wang asing berjumlah lebih RM7 juta dalam 70 serbuan.

image is not available

Ekoran dari penahanan itu, Polis Johor mula giat memburu Nicky kerana disyaki terbabit dalam sindiket berkaitan pengubahan wang haram serta jenayah komersial.

Pangkat Datuk Seri turut ditarik balik

Tidak lama kemudiannya, gelaran Datuk Seri yang dianugerahkan kepada Nicky turut ditarik balik oleh kerajaan Negeri Pahang atas titah Yang di-Pertuan Agong selaku Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

image is not available
Nicky sewaktu ditahan pada tahun 2017 | Foto via Malaymail

Sebagai rekod, ini bukan kali pertama Nicky ditahan. Dia pada tahun 2017 pernah ditahan atas tuduhan mencederakan dua anggota Sukarelawan Malaysia (RELA) yang sedang bertugas di perkarangan Tokong Kou Ong Yah, Jalan Merdeka, Kampung Baru Ampang, Kuala Lumpur.