Pengkalan Kubor lokasi tumpuan banteras seludup mercun, bunga api

27 Apr 2022 • 9:30 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

TUMPAT - Polis mengenal pasti kawasan di Pengkalan Kubor di sini menjadi lokasi tumpuan untuk membanteras kegiatan penyeludupan mercun dan bunga api dari Thailand ke pasaran negara ini berikutan ia mendapat permintaan tinggi menjelang sambutan Aidilfitri pada bulan depan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Tan Seng Lee berkata, pasukannya diarahkan membuat pemantauan di lokasi terbabit terutamanya lorong-lorong tikus yang menjadi laluan penyeludup melakukan aktiviti itu.

"Pengkalan Kubor menjadi lokasi 'panas' di jajahan ini bagi membawa masuk bekalan itu melalui pangkalan haram dekat sempadan Malaysia-Thailand.

"Kita telah melakukan sekatan jalan raya (SJR), pemeriksaan dan pemantauan ketat di kawasan terbabit bagi membanteras kegiatan penyeludupan mercun dan bunga api memasuki negara ini," katanya kepada pemberita selepas melakukan pemantauan Bazar Ramadan dekat Wakaf Bharu di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Seng Lee berkata, setakat ini juga pihaknya telah berjaya membanteras tiga kes penyeludupan mercun di jajahan itu dengan nilai rampasan berjumlah RM30,000.

Sementara itu, beliau berkata, masyarakat diingatkan supaya mengisi borang balik kampung di balai polis berdekatan bagi memudahkan pihaknya membuat pemantauan di kawasan kediaman mereka.

"Orang ramai perlu mengambil langkah keselamatan sekiranya ada pergerakan meninggalkan rumah untuk pulang ke kampung dalam tempoh lama seperti lebih dua hari.

"Mereka boleh mengisi borang itu dan maklum kepada balai-balai terdekat supaya kita dapat tahu dan melakukan rondaan secara kerap bagi menangani kejadian jenayah seperti pecah rumah dan sebagainya," katanya. - Bernama