Pembinaan 244 menara telekomunikasi di Pahang siap sebelum penghujung 2022

5 Apr 2022 • 1:17 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

LIPIS: Pembinaan 244 menara telekomunikasi yang sedang dilaksanakan bagi memudahkan capaian Internet kepada pengguna di Pahang dijangka dapat disiapkan sebelum penghujung tahun ini.

Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Pahang Mohd Faisal Md Nor berkata pembinaan menara merupakan antara empat projek utama menerusi pelaksanaan Jalinan Digital Negara (JENDELA) fasa satu yang dijangka tamat, Disember tahun ini.

Katanya sejak bermula pelaksanaan JENDELA pada Ogos 2020, MCMC telah berjaya menyiapkan sebanyak 26 menara termasuk di kawasan pedalaman seperti di Lipis.

“Kerja-kerja pembinaan sedang giat dijalankan dan kita optimis sasaran untuk menyiapkan kesemua menara dalam tempoh yang disasarkan dapat dicapai berikutan kerajaan negeri menyokong dan membantu memudahkan urusan antaranya dari segi kelulusan perolehan tapak dan kebenaran menggunakan tanah,“ katanya kepada Bernama dan RTM baru-baru ini.

Selain itu, beliau berkata 867 atau 96 peratus daripada 902 stesen pemancar telah siap dinaik taraf kepada teknologi rangkaian 4G manakala bakinya dijangka dapat disiapkan dalam masa terdekat.

Menurut beliau rangkaian di 75,653 premis telah dinaik taraf ke rangkaian gentian optik sehingga kini daripada 118,260 premis yang disasarkan untuk negeri Pahang di bawah fasa satu JENDELA manakala perkhidmatan Internet jalur lebar satelit di 69 Kampung Orang Asli di Pahang telah siap kesemuanya yang membolehkan penduduk menikmati perkhidmatan Internet kolektif secara percuma.

“Pelaksanaan projek-projek ini telah berjaya melonjakkan kadar liputan 4G di Pahang daripada 89.1 peratus pada suku kedua 2020 iaitu sebelum JENDELA bermula kepada 92.56 peratus pada suku keempat 2021.

“Kami percaya kadar liputan 4G ini akan terus dipertingkatkan apabila semua projek yang sedang dijalankan ini siap sepenuhnya pada penghujung 2022,“ kata Mohd Faisal.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi apabila pihaknya berhadapan dengan cabaran dalam merealisasikan JENDELA di Pahang antaranya bentuk muka bumi yang berbukit bukau dan keluasan tanah negeri ini.

“Selain itu, kita mempunyai dua menara terletak di Pos Lemoi dan Kampung Telimau di Cameron Highlands yang telah siap pada tahun lepas, namun masih belum diaktifkan kerana pemasangan gentian optik belum selesai disebabkan kekerapan berlaku tanah runtuh akibat hujan lebat.

“Sehingga kini, lebih tiga kejadian tanah runtuh telah berlaku dengan terkini pada minggu lepas, menyebabkan laluan ke lokasi menara terputus sekali gus menjejaskan kerja-kerja pemasangan gentian optik,“ katanya.

Dalam pada itu, Mohd Faisal menggalakkan orang ramai menggunakan portal JENDELA Map yang telah dibangunkan oleh MCMC supaya mereka dapat menyemak dan menyalurkan maklum balas berkaitan liputan perkhidmatan komunikasi di lokasi masing-masing.

Katanya portal ini boleh dilayari di https://jendela.my atau atau melalui aplikasi mudah alih yang boleh dimuat turun di Google Playstore bagi pengguna android atau Apple Store bagi pengguna iPhone.-Bernama