Pusat Karaoke Terbakar, 3 Pelanggan Maut

22 Apr 2022 • 3:45 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Asap tebal memenuhi ruang dalaman dan bahagian luar sebuah pusat karaoke yang terbakar di Jalan Putra, Mergong di Alor Setar, hari ini.

ALOR SETAR - Tiga pelanggan sebuah pusat karaoke di Jalan Putra, Mergong di sini maut apabila sebahagian daripada premis hiburan itu terbakar dalam kejadian pagi tadi.

Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Pesuruhjaya Bomba, Syufaat Kamaron, ketiga-tiga mangsa yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita ditemui dalam dua bilik mewah, VVIP di tingkat bawah premis.

Katanya, individu itu dikenali Kim Mei Ki, 31, serta Mak Barry dan Jeffry Tan Wui yang masing-masing berusia 30 tahun.

“Kami (JBPM Kedah) menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian ini pada kira-kira jam 10.19 pagi. Ketika kejadian, difahamkan terdapat 11 individu berada dalam premis tersebut, namun lapan sempat keluar menyelamatkan diri.

“Ketika kejadian, premis ini tidak beroperasi, tetapi kesemua mangsa (pelanggan) dipercayai bermalam di situ selepas datang ke premis berkenaan, malam tadi,” katanya.

image is not available
Anggota polis memeriksa mayat mangsa yang maut dalam kebakaran di sebuah pusat karaoke di Jalan Putra, Mergong, Alor Setar hari ini.

Beliau berkata, mangsa pertama, iaitu Mark ditemui kira-kira jam 12.39 tengah hari, disusuli Jeffry pada 12.58 tengah hari dan Mei Ki, 1.13 petang.

Jelasnya, ketiga-tiga mangsa maut akibat lemas dalam asap tebal. 

“Pihak kami berdepan kesukaran mencari mangsa kerana keadaan premis itu yang memiliki terlalu banyak bilik dengan sebahagiannya diubah suai, selain asap tebal.

“Kami mula masuk ke dalam premis sejak jam 10.30 pagi untuk mencari mangsa, namun disebabkan kekangan itu, kami terpaksa mendapatkan lakaran kasar dari pengurus premis bagi menentukan lokasi mangsa berada,” katanya.

Tambahnya, JBPM Kedah sedang menyiasat punca kejadian dan jumlah kerugian dialami. - Getaran, 22 April 2022