Dakwaan Anggota Peronda Peras Warga Asing, Polis Mula Siasatan

15 Apr 2022 • 12:19 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Noor Dellhan Yahaya - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Polis memulakan siasatan terperinci berhubung dakwaan membabitkan anggota kereta peronda polis (MPV) melakukan pemerasan terhadap warga Singapura berhampiran sebuah kompleks beli-belah di ibu negara.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, dakwaan itu dibuat menerusi satu video tular di Facebook yang dikesan pihaknya semalam.

Menurutnya, siasatan mendapati kejadian berlaku pada 10 April lalu berhampiran sebuah kompleks beli-belah yang baru dibuka di Bukit Bintang.

“Satu siasatan terperinci dimulakan sebaik saja hantaran dan video terbabit tular di laman Facebook.

“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggota sekiranya salah laku berkenaan benar-benar terjadi,” katanya menerusi kenyataan.

Justeru, Noor Dellhan meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Ketua Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard Dang Wangi, Asisten Superintendan Jaya Dalloh di talian 014-6396 758 atau IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999,” katanya. - Getaran, 15 April 2022