
KENINGAU: Sebuah jambatan kekal bernilai RM7.2 juta akan dibina di Sungai Liau, Jalan Keningau Apin-Apin bagi menggantikan jambatan yang runtuh tahun lalu akibat hujan lebat dan banjir.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, jambatan galang keluli sepanjang 30 meter ini akan mengikut spesifikasi R4, iaitu spesifikasi antarabangsa bagi jalan raya di sini.
“Kementerian Kerja Raya Persekutuan memutuskan untuk membina jambatan kekal bagi menampung pertambahan trafik di sini untuk mengurangkan risiko jambatan runtuh pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak jambatan itu pada Jumaat.
