
Seorang kerani wanita dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 kerana didapati bersalah memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak, lima tahun lalu.
Memetik laporan Harian Metro, keputusan yang dibuat Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abu Bakar Katar itu sekaligus mengenepikan keputusan Mahkamah Majistret pada 10 Oktober lalu di mana responden dilepas dan dibebas daripada tuduhan berkenaan.

Jika gagal membayar denda, responden, Sam Ke Ting diperintah menjalani hukuman penjara selama enam bulan. Selain itu, responden juga hilang kelayakan lesen memandu selama tiga tahun apabila selesai hukuman penjara nanti.
Jelas hakim Mahkamah Tinggi, responden diputuskan bersalah dan disabitkan bersalah atas pertuduhan yang dikenakan selepas melalui perbicaraan penuh, bukannya kes pengakuan bersalah.
Perbuatan responden yang memandu cara melulu atau merbahaya menyebabkan kehilangan lapan nyawa. Kesalahan yang dilakukan responden adalah kesalahan berat.
Tambah beliau lagi, dalam menjatuhkan hukuman, pihak mahkamah mengambil kira hujahan pihak berkaitan dan melihat pelbagai faktor termasuklah mengutamakan kepentingan awam berbanding kepentingan peribadi.
Responden diperintah menjalani hukuman penjara mulai hari ini selagi tiada kebenaran Mahkamah Tinggi untuk rayuan penangguhan dibuat.
Kredit: Harian Metro
The post Kes Kematian 8 Remaja Basikal Lajak, Wanita Dipenjara 6 Tahun Dan Denda appeared first on Oh! Media.
