Program 'Syahadah' Beri Tafsiran Lebih Mendalam Tentang Hijrah

7 Apr 2022 • 4:30 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

Dokumentari 'Syahadah' telah menjadi sebuah program rutin yang sering dinantikan penonton setia Radio Televisyen Malaysia (RTM) setiap kali menjelangnya sambutan bulan  ramadan. 

Memasuki edisi ke-16 tahun ini, dokumentari berkonsep  sejarah keislaman yang mula diterbitkan Unit Majalah dan Dokumentari (UMD) sejak tahun 2005 ini bakal mengangkat tema Hijrah: Pendekatan Kandungan Islamik Dan Perspektif Komuniti Etnik Di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Che Roslan Che Daud berkata, menerusi tema yang dipilih tahun ini, 'Syahadah'  akan memaparkan tafsiran  hijrah dari pemahaman yang lebih luas dengan memaparkan  kisah-kisah menarik asimilasi budaya yang lebih khusus dalam negara.

image is not available

“Ia turut membawa penonton setia RTM menjelajah pelbagai kisah yang ada di Malaysia, negara tercinta yang sarat dengan sejarahnya tersendiri. Bahkan, ia turut berkongsi suka duka kehidupan ikon dakwah setempat dan paparan mengenai keunikan seni bina masjid yang terdapat di Malaysia. 

“Penerbitan kali ini, telah dibahagikan kepada enam zon dengan latar belakang pesona visual yang lebih sinematik dan kandungan program tersendiri. Ia turut melibatkan tenaga kerja 12 orang penerbit yang dibahagikan mengikut keenam-enam zon ini.

image is not available

“Pendekatan ini digunakan untuk memastikan khalayak penonton disajikan dengan kandungan ilmiah yang  mampu membentuk  budaya  ilmu. Saya yakin 'Syahadah' masih merupakan  program tonggak UMD yang masih relevan dan mampu menarik penontonan,” katanya. 

Dokumentari 'Syahadah' dihasilkan sebanyak 30 episod dan telah mula bersiaran ramadan sejak 3 April yang lalu. Ia disiarkan menerusi  tiga saluran RTM iaitu di saluran TV1 bermula jam 6.30 petang (siaran ulangan pukul 4.30 pagi), saluran Berita RTM pada jam  8.30 malam (siaran  ulangan jam 1.30 tengahari) dan di TV Okey.

Pada majlis sidang media, pihak SASA SALT yang diwakili syarikat Red Sea Industries Sdn Bhd, Aet Travel Sdn Bhd, Rabbani Productions dan D-Saji turut hadir kerana terlibat sebagai penaja kos hadiah kuiz mingguan dan utama program dokumentari ini. - Getaran, 7 April 2022

Gambar: RTM 

View Original Article