
BALIK PULAU - Polis menahan seorang wanita di Jalan Sultan Azlan Shah, Bayan Lepas di sini pada Selasa bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan Macau Scam sehingga menyebabkan mangsa kerugian RM60,467, dalam kejadian Ogos lepas.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, wanita berumur 20-an itu yang bekerja sebagai pembantu sebuah kedai telefon bimbit ditahan di sebuah premis kira-kira jam 7 pagi, hasil risikan dan intipan dijalankan polis.
"Berdasarkan siasatan, seorang jurutera berusia 27 tahun menjadi mangsa sindiket Macau Scam selepas lelaki itu menerima panggilan telefon daripada suspek mendakwa pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memaklumkan dia mempunyai cukai tertunggak sebelum meminta untuk menghubungi pegawai polis melalui nombor yang diberikan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, suspek mengarahkan mangsa untuk membuat pembayaran dan jika gagal berbuat demikian mangsa akan diambil tindakan undang-undang sebelum lelaki itu membuat lima kali pemindahan wang ke dalam akaun bank membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM60,467.
Kamarul Rizal berkata, berdasarkan siasatan, wanita itu memaklumkan dia membuat pinjaman wang sebanyak RM2,000 daripada seorang lelaki yang dikenali melalui Facebook pada Ogos tahun lepas dan kemudiannya menerima RM1,700 dengan syarat perlu menyerahkan kad ATM miliknya kepada lelaki tersebut.
"Wanita itu mendakwa tidak mengetahui kad dan akaun banknya digunakan oleh lelaki itu untuk menipu mangsa atau terlibat dalam sindiket Macau Scam.
"Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui sama ada wanita itu memang tidak mengetahui kegiatan sindiket Macau Scam tersebut atau sebaliknya," katanya.
Beliau berkata polis juga sedang mengesan rangkaian sindiket Macau Scam itu untuk siasatan lanjut dan wanita tersebut kini direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu. - Bernama
