#TagYourMP Desak Ahli Parlimen Sokong RUU Anti Lompat Parti

WorldPolitics
1 Apr 2022 • 5:41 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Ngeow Chow Ying (tengah) pada Majlis Pelancaran kempen #TagYourMP di Pejabat BERSIH, di Petaling Jaya. - Gambar Sairien Nafis

PETALING JAYA - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) meminta orang ramai mendesak Ahli Parlimen di Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing supaya menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang akan dibentangkan di Parlimen, 11 April ini.

Bendahari dan pemangku Pengarah Eksekutif BERSIH, Ngeow Chow Ying berkata, mereka boleh berbuat demikian menerusi kempen #TagYourMP yang dilancarkan gabungan itu, bertujuan mewujudkan kesedaran orang ramai dan mengumpul sokongan politik bagi pembentangan RUU berkenaan.

“Dalam kempen ini kami mengajak orang ramai untuk tag Ahli Parlimen kawasan masing-masing di hantaran media sosial, iaitu Facebook, Twitter dan Instagram serta menggesa mereka untuk menyokong RUU Anti Lompat Parti.

“Orang ramai turut boleh menghantar emel kepada Ahli Parlimen mereka untuk menyokong RUU tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran kempen #TagYourMP di Pejabat BERSIH di sini hari ini.

image is not available
Ngeow Chow Ying

Chow Ying berkata, BERSIH turut melancarkan petisyen bagi mendesak RUU Anti Lompat Parti diluluskan sebelum menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Katanya, forum dan acara untuk membincangkan mekanisme anti lompat parti itu serta kepentingannya kepada orang ramai akan turut dilaksanakan pihaknya.

“Kita perlu mempunyai undang-undang untuk menghentikan gejala lompat parti oleh wakil rakyat yang sudah mengugat kestabilan kerajaan dan negara kita.

“Tanpa sebarang mekanisme anti lompat parti, rakyat akan terus kecewa dengan politik dan sistem demokrasi kita ini,” ujarnya.

image is not available
BERSIH melancarkan kempen #TagYourMP

Sementara itu, Pengerusi BERSIH, Thomas Fann yang mengikuti pelancaran terbabit secara maya berkata, usaha berkenaan adalah cerminan isu yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Peratusan agak rendah pengundi keluar mengundi pada PRN Johor, jelas menunjukkan kekecewaan rakyat terhadap Ahli Parlimen mereka yang mengkhianati pengundi dengan melompat ke parti lain.

“Ahli Parlimen adalah wakil rakyat yang harus mendengar suara rakyat dan harus menyokong pengundi mereka. Jika nilai Ahli Parlimen itu tidak stabil jadi rakyat akan bosan dan kecewa,” katanya. - Getaran, 1 April 2022.