
RANAU: Tindakan pantas menyelamatkan lidah seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang tersangkut dalam corong botol minuman, di sini, pada Isnin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau Ridwan Mohd Taib berkata, kejadian membabitkan seorang murid tadika yang lidahnya tersangkut di dalam mulut botol plastik minuman kacang soya.
“Kami menerima panggilan daripada Hospital Ranau memaklumkan kejadian itu pada pukul 2.49 petang dan mengerahkan satu pasukan diketuai PB Hafizul Guntor Mohd Nordin dan sebuah kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ke tempat kejadian.
“Selepas membuat penilaian, anggota penyelamat mula melonggarkan botol dari lidah mangsa dengan memotong objek diperbuat daripada plastik itu menggunakan peralatan khas dan selesai dalam tempoh kurang 10 minit.
“Operasi tamat pada jam 3.40 petang dan mangsa diserahkan kepada pasukan perubatan hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.
Ridwan mengingatkan ibu bapa supaya memberi perhatian lebih banyak kepada anak-anak mereka, khususnya kanak-kanak kecil yang gemar meneroka sekeliling mereka, bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
Menyentuh keselamatan umum, Ridwan menasihatkan orang ramai supaya mematuhi beberapa “SOP”, khususnya semasa musim kering dan berangin yang melanda daerah ini sekarang.
Beliau berkata masyarakat perlu mengutamakan keselamatan diri, keluarga dan masyarakat serta mengelak aktiviti berisiko.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka semasa keadaan cuaca ini. Sekiranya pembakaran tidak dapat dielakkan, ia perlu dipantau dan dikawal bagi mengelak api merebak ke kawasan berhampiran,” katanya.
Masyarakat juga dinasihatkan supaya mengelak daripada berteduh berhampiran pokok yang sudah tua dan kering, bagi mengelak terkena dahan atau ranting yang patah ditiup angin.

