Fasa peralihan ke endemik beri kelegaan buat golongan OKU

6 Apr 2022 • 10:37 AM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KANGAR: Fasa Peralihan ke Endemik yang berkuat kuasa 1 April lepas memberi kelegaan kepada rakyat Malaysia terutama golongan Orang Kurang Upaya (OKU) yang rata-ratanya terkesan sebelum ini akibat beberapa kekangan dihadapi mereka.

Seorang OKU penglihatan Noor Jasmi Othman, 66, berkata ketika negara dilanda pandemik Covid-19, hasil jualan kraftangan rotannya merosot selain tempahan yang sebelum ini diterima kira-kira 10 produk setiap bulan juga berkurang.

“Saya turut menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan rotan bagi menghasilkan kraftangan seperti bakul, dulang dan bingkai gambar.

“Namun, sejak kerajaan mengumumkan Fasa Peralihan ke Endemik ini, keadaan sudah kembali seperti biasa dan saya mula mendapat tempahan pelanggan dari Pahang, Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya kepada Bernama selepas Majlis Iftar Menyantuni OKU dan Asnaf anjuran Yayasan Orang Buta Malaysia bersama Rumah Lavender Transit OKU dan Ibu Tunggal di sini malam tadi.

Turut berkongsi pengalaman, seorang tukang urut OKU penglihatan, Remli Abas, 63, yang turut terkesan apabila perkhidmatannya terjejas disebabkan Covid-19.

“Bulan Ramadan ini mungkin tak ramai sangat orang datang untuk berurut tapi saya yakin keadaan akan pulih seperti biasa dan pelanggan tetap saya akan datang semula (selepas ini),“ katanya yang bergantung dengan wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM450 sebulan ketika tidak menjalankan perkhidmatan mengurut sebelum ini.

Terdahulu, pada majlis yang dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Mohd Nazim Mohd Noor, turut diadakan sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Yayasan Orang Buta Malaysia dengan Rumah Lavender bagi membantu golongan OKU di Perlis.

Pengasas Rumah Lavender Tuan Marja Tuan Mat berkata pihaknya berharap kerjasama ini dapat membantu memasarkan produk OKU di Perlis secara lebih meluas bagi meningkatkan taraf ekonomi golongan berkenaan.

Beliau berkata selain itu, ia juga diharap dapat membantu menyediakan tenaga pakar bagi meningkatkan kemahiran golongan OKU dalam penyediaan produk mereka.

“Produk OKU ini tidak dapat dipasarkan secara meluas dan promosinya juga terhad...jadi kerjasama MoU ini diharap dapat membantu OKU di Perlis untuk lebih berjaya pada masa hadapan,” katanya.-Bernama