
PUTRAJAYA - Kerajaan belum membuat sebarang keputusan untuk membawa pulang rakyat Malaysia di Rusia ekoran sekatan ekonomi yang dikenakan terhadap negara itu.
Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, beliau akan mengadakan pertemuan secara sidang video dengan rakyat Malaysia di Moscow yang terkesan akibat sekatan itu dalam masa terdekat untuk mengetahui perkembangan mereka.
"Ada beberapa isu yang dihadapi mereka antaranya berkaitan penghantaran wang," katanya pada sidang akhbar selepas mengumumkan pelantikan Jawatankuasa Belia untuk Hubungan Antarabangsa dan Diplomasi, di sini pada Isnin.
Rusia telah dikenakan pelbagai sekatan ekonomi berikutan operasi ketenteraanya ke atas Ukraine sejak 24 Februari lalu sekali gus mengakibatkan sesetengah rakyat Malaysia di negara itu berdepan gangguan dalam mengakses perkhidmatan perbankan dan kewangan.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai dakwaan terdapat rakyat Malaysia yang masih berada di Ukraine, Saifuddin berkata, sebahagian mereka telah pulang ke Malaysia manakala selebihnya memilih untuk tinggal di negara-negara jiran.
"Ada yang memilih untuk berada di Poland dan ada yang melalui Poland untuk ke negara lain. Ini sahaja setakat yang kita ada makluman," katanya.


