
Tuaran: Sebanyak 23 kawasan di daerah Tuaran dan Kota Belud terjejas akibat banjir dipantau sepenuhnya selepas hujan lebat beterusan selama lima jam sejak jam 5 petang, Sabtu lalu.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Tuaran, Paulina Francis, berkata keadaan banjir di enam kawasan di Tuaran terkawal dan pihaknya menjalankan pemantauan secara berkala bagi memastikan keselamatan penduduk.
Katanya sehingga jam 12.30 tengah hari pada Ahad, sepuluh mangsa terdiri satu keluarga membabitkan lapan dewasa dan dua kanak-kanak dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Surau Kampung Tinuhan, Tenghilan.
“Satu rumah di Kampung Tinuhan dilaporkan roboh namun tiada mangsa dilaporkan cedera dan penghuni juga berpindah ke rumah saudara terdekat”.
“Satu jalan terputus di Jambatan Tamparuli dan tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan akibat dilimpahi air Sungai Tuaran,” katanya.
Menurutnya, selain kampung Tinuhan Tenghilan, empat lagi kawasan terlibat banjir adalah Pekan Tenghilan, Kampung Bunga, Kampung Suang Bangau dan Kampung Paruh.
Sementara itu, Pegawai APM Daerah Kota Belud, Jimmy Alberto Tining berkata, berlaku peningkatan paras Sungai Tempasuk, Sungai Abai dan Sungai Kadamaian yang mencecah paras berjaga-jaga sehingga 4.80 meter.
“Keadaan ketiga-tiga paras air sungai yang melimpah ke darat ini mengakibatkan 17 kampung terjejas namun masih dalam keadaan terkawal.
“Setakat ini juga, pihak APM menerima maklumat terdapat 11 penduduk dipindahkan pasukan bomba ke rumah saudara terdekat di Kampung Lentigi,” katanya.
Jimmy berkata, berikutan cuaca yang tidak menentu sejak tiga hari lalu, pasukan penyelamat menjalankan pemantauan dan bersiap sedia untuk membantu penduduk di kawasan terjejas.
Antara kampung terlibat adalah Kampung Bobot, Kampung Ejuk, Kampung Siasai Tamu, Kampung Kota Belud, Kampung Menunggui, Kampung Sembirai, Kampung Lingkodon, Kampung Linau dan Kampung Gunding.
Selain itu, Kampung Suang Punggur, Kampung Sadok-Sadok, Kampung Song-Song Kampung Marajah, Kampung Lebak Engad, Kampung Lebak Moyoh, Kampung Limatok dan Kampung Taun Gusi Keranjangan.
Sehubungan itu, penduduk khususnya di daerah Tuaran dan Kota Belud dinasihatkan agar segera menghubungi pihak pasukan penyelamat sekiranya berlaku kecemasan.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
