Pengembara tak lengkap borang dalam MySejahtera punca KLIA sesak

5 Apr 2022 • 6:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

PUTRAJAYA - Kesesakan yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) pada Ahad lepas (3 April) berpunca daripada pengembara antarabangsa yang tidak melengkapkan borang pengembara dalam aplikasi MySejahtera, menurut Jabatan Imigresen.

Ekoran itu, pegawai imigresen terpaksa membantu pengembara terbabit sehingga menyebabkan kelewatan dan kesesakan, menurut jabatan itu dalam catatan di laman Facebook hari ini.

Pada hari berkenaan juga, terdapat jemaah umrah dari Indonesia yang transit di KLIA dan kehadiran mereka tanpa pengurusan pihak yang mengendalikan transit itu telah menyumbang kepada kesesakan tersebut.

Terhadap dakwaan Jabatan Imigresen hanya membuka tiga kaunter sahaja pada hari tersebut, jabatan itu menjelaskan bahawa pihaknya membuka sepenuhnya 26 kaunter termasuk kaunter pintu automatik di terminal udara itu.

Jabatan Imigresen berkata, situasi kesesakan itu berjaya diatasi dengan kerjasama beberapa pihak di KLIA seperti Kementerian Kesihatan, Malaysia Airports Holding Bhd dan syarikat penerbangan.

"Sebagai agensi barisan hadapan di pintu masuk negara, Jabatan Imigresen akan terus memberikan komitmen terbaik dan bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan urusan keluar masuk pelancong dan pelabur asing serta warga tempatan berjalan lancar," katanya. - Bernama