Muhyiddin jumpa Tun M bongkar niat sebenar beliau: Ahmad Zahid

Politics
4 Apr 2022 • 10:05 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan perjumpaan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad atas kepentingan peribadi.

Ahmad Zahid berkata, tindakan tersebut membongkar niat sebenar Muhyiddin yang didakwa ingin kembali menjadi Perdana Menteri (PM).

“Presiden Bersatu dilaporkan mahu kembali menjadi PM dan mahu kerjasama dengan Parti Pejuang.

"Kita fikir mereka berdiri atas ideologi. Rupa-rupanya semua demi kepentingan peribadi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.

Jumaat lalu, Dr Mahathir mendakwa Muhyiddin bertemu beliau untuk mendapatkan sokongan dalam usahanya untuk kembali menjadi Perdana Menteri.

Tambah Ahmad Zahid, Muhyiddin juga dikatakan ada mengadakan pertemuan bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menghubungi Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Presiden Bersatu juga dilaporkan mengadakan pertemuan dengan Presiden PKR baru-baru ini walaupun tidak ada butiran lanjut.

“Begitu juga Shafie Apdal mengakui beliau dihubungi oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang dipercayai berkaitan dengan bentuk kerjasama yang boleh dilakukan dalam pilihan raya umum pada masa akan datang.

“Namun Shafie Apdal dilaporkan sudah memberikan kata putus menolak permintaan tersebut selepas pengkhianatannya dalam Pakatan Harapan (PH),” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, mana-mana pihak dalam UMNO yang masih mahu bekerjasama, mempercayai dan mempertahankan Bersatu, mereka harus menilai sendiri segala tindak tanduk politik dan tabiat Muhyiddin yang terdesak ingin kembali menjadi Perdana Menteri.

“Mahukah kita terus bekerjasama dengan parti sedemikian?

“UMNO ini tidak sempurna.Tetapi kita tidaklah terdesak, menjual prinsip dan sanggup melakukan apa sahaja semata-mata mahu menebus malu dan menggenggam kuasa,” jelasnya.