
MERSING: Pekebun di Kampung Air Papan di sini merayu agar pihak berkaitan dapat memindahkan kumpulan gajah liar yang mengganggu tanaman kelapa sawit mereka sejak lebih setahun lalu.
Seorang pekebun Mohd Mesan, 72, berkata dia yang bergantung sepenuhnya dengan hasil kelapa sawit enggan mengambil risiko untuk melakukan tanaman semula berikutan khuatir usahanya itu sia-sia, sekiranya haiwan liar itu kembali.
Mohd yang mengusahakan kebun seluas 2.4 hektar sejak lapan tahun lepas berkata kehadiran kumpulan gajah berkenaan yang dipercayai mencecah 10 ekor menyebabkan dia dan pekebun lain berasa takut untuk turun ke kebun masing-masing.
“Kebun saya sudah empat kali didatangi gajah dan yang terbaru minggu lepas mengakibatkan kami terpaksa menanggung kerugian lebih-lebih lagi ketika harga sawit kini sedang melonjak tinggi.
“Kami ada buat aduan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan mereka ada datang pantau. Namun, kami merayu agar pihak berwajib dapat membantu kami mencari penyelesaian seperti memindahkan gajah ini sebab kalau kami tanam semula tapi gajah ini masih datang, tiada guna juga,” katanya ketika ditemui pemberita di kebunnya di sini hari ini.
Mohd yang sebelum ini bekerja sebagai nelayan berkata tanamannya itu hanya mampu mengeluarkan hasil sekitar dua tan berbanding lima tan, sebelum kejadian diserang haiwan liar terbabit.
Bagi Rohana Zakariah, 43, yang pernah terserempak dengan kumpulan gajah berkenaan berkata kehadiran mamalia itu bukan sahaja memusnahkan tanaman sawitnya bahkan jalan menuju ke kebunnya turut terjejas.
“Tanah di kebun tanah gambut, oleh itu apabila tanah basah (hujan), gajah masuk dalam kebun dengan berat badannya menyebabkan ia terbenam sehingga mengakibatkan jalan berkenaan rosak.
“Tahun lepas saja sudah tiga kali kebun diserang dengan anggaran kerugian melebihi RM10,000 sedangkan (jika tiada gangguan gajah), saya mampu meraih pendapatan RM3,000 sebulan lebih-lebih lagi harga sawit kini sedang meningkat,” katanya.
Sementara itu, Presiden Ikatan Anak Mersing Muhammad Syukri Ibrahim berkata ini adalah kali pertama beliau dipanggil penduduk kampung bagi membantu mencari solusi berhubung isu berkenaan.
“Susulan itu, kami telah mengadakan satu mesyuarat dengan wakil Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) selain meneliti laporan yang dibuat kepada Jabatan Perhilitan dan pihak berkaitan.
“Kami akan cuba bawa suara pekebun sehingga dapat mencari titik penyelesaian agar mereka dapat menanam sawit semula tanpa perlu rasa bimbang dengan gajah,” tambahnya yang turut mencadangkan pembinaan longkang bagi menyukarkan pergerakan mamalia itu.-Bernama
